“Kongsi Rezeki” Perfume Paradise X Abam Panda: Usaha Meringankan Kos Hidup Rakyat
- oleh Mohd Indera
- 1 minggu lalu

Program “Kongsi Rezeki” Perfume Paradise X Abam Panda, hasil kerjasama antara Perfume Paradise dan personaliti media sosial terkenal, Abam Panda, telah berlangsung dengan jayanya di Flat Danau Kota, Jalan Genting Klang.
Inisiatif di bawah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat ini mendapat sambutan luar biasa daripada penduduk setempat, yang menerima sumbangan ayam percuma yang diedarkan secara terus dari rumah ke rumah.
Menurut pengasas Perfume Paradise, kejayaan program ini membuktikan bahawa usaha kecil mampu memberikan impak besar kepada masyarakat.
“Melihat senyuman dan kesyukuran penduduk adalah bukti bahawa inisiatif ini benar-benar memberi manfaat. Kami berharap dapat meneruskan program sebegini dengan lebih kerap pada masa hadapan,” katanya.
Kolaborasi bersama Abam Panda dipilih kerana beliau dikenali sebagai ikon yang dekat dengan rakyat, terutama golongan ketua keluarga yang berusaha untuk memperbaiki taraf hidup mereka.
Abam Panda ialah seorang pencipta kandungan dan personaliti media sosial yang terkenal di Malaysia. Beliau mempunyai lebih daripada 1.1 juta pengikut di TikTok dan 27,000 pengikut di Instagram.
Selain menjadi wajah utama program ini, Abam Panda juga turun padang mengagihkan sumbangan kepada penduduk setempat.
Beliau turut menyatakan komitmennya untuk terus bersama Perfume Paradise dalam inisiatif CSR yang akan datang.
Perfume Paradise sebelum ini telah terlibat dalam beberapa program kebajikan, termasuk menerusi program “Kongsi Kasih” terbitan Astro.
Dengan kejayaan program di Flat Danau Kota, Perfume Paradise merancang untuk memperluaskan inisiatif “Kongsi Rezeki” ke lebih banyak Projek Perumahan Rakyat (PPR) di seluruh Malaysia.
Flat Danau Kota dipilih kerana lokasi ini pernah menjadi tempat tinggal Abam Panda ketika beliau bekerja sebagai penghantar makanan pada suatu ketika dahulu.
Syarikat juga sedang mempertimbangkan untuk menjadikan program ini sebagai satu inisiatif berkala bagi memastikan lebih ramai golongan memerlukan mendapat manfaat daripada usaha kebajikan ini.