Kong Tao: Bront Palarae Teroka Sisi Gelap ‘Mistik’ Menerusi Watak Amin
- oleh MDaily Editor
- 18 Mar 2026 6:02 pm
Pelakon berkaliber, Bront Palarae, menyifatkan penglibatannya dalam filem seram rentas negara, Kong Tao, sebagai satu kembara budaya yang menarik apabila berpeluang meneroka sisi gelap amalan mistik daripada perspektif masyarakat serantau.
Memegang watak sebagai Amin, seorang pemandu pelancong tempatan yang membantu watak utama dari Thailand, Bront berkata tarikan utama naskah ini terletak pada perkongsian ilmu hitam dan sihir yang berbeza daripada apa yang biasa dilihat dalam naskah tempatan.

“Apa yang menarik bagi saya adalah aspek budaya. Kita sudah biasa dengan santau atau ilmu hitam yang sering dipaparkan dalam negara, tetapi untuk mengetahui kultur negara jiran adalah sesuatu yang agak menarik.
“Apabila bahagian artistik dan reka bentuk produksi mula berkongsi apa yang mereka buat untuk babak-babak tertentu, saya rasa ia sesuatu yang baharu. Ditambah pula dengan kehadiran pelakon dari negara jiran, ia memberikan pengalaman yang berbeza,” katanya ketika ditemui pada tayangan media filem Kong Tao di TGV Sunway Pyramid, hari ini.

Meskipun filem ini sarat dengan elemen ritual, Bront menjelaskan beliau tidak terlibat secara langsung dalam babak melibatkan upacara pemujaan. Sebaliknya, watak Amin lebih berfungsi sebagai ‘jambatan’ yang melakukan penyelidikan terhadap kejadian misteri yang berlaku.
“Saya tidak terlibat dengan ritual itu sendiri, tetapi watak saya lebih kepada individu yang melakukan kajian, sama seperti masyarakat kita yang gemar membaca kisah-kisah mistik dalam majalah Mastika suatu ketika dahulu.
“Saya lebih berminat untuk melihat bagaimana individu daripada budaya atau agama lain melihat proses tersebut dan memahami perincian di sebaliknya. Ia satu penceritaan yang membuka mata,” jelasnya lagi.
Menyentuh mengenai cabaran bekerja dalam produksi yang menggabungkan pelakon dari Thailand, Hong Kong dan Singapura, Bront mengakui faktor bahasa bukanlah penghalang besar, sebaliknya beliau lebih mengutamakan keserasian di set penggambaran.

Bercerita mengenai pengalamannya bersama bintang Thailand, Kao Supassara dan pelakon veteran Hong Kong, Philip Keung, Bront menyifatkan mereka sebagai rakan lakonan yang sangat komited.
“Walaupun ada kekangan bahasa, namun apabila kamera mula merakam, keserasian itu perlu ada. Bagi saya, kelebihan berbahasa dalam negara berbilang bangsa ini memang memberi manfaat besar.
“Ia bukan sahaja membantu komunikasi, malah membantu kita memahami bangsa lain dengan lebih mendalam,” katanya.
Filem Kong Tao yang mendapat sokongan Kementerian Komunikasi dan FINAS ini mengisahkan tentang amalan ilmu hitam yang menghantui sekumpulan YouTuber selepas pulang daripada melakukan eksplorasi paranormal di Thailand.
Selain Bront, filem arahan Peiji Goh dan Yong Choon Lin ini turut membariskan pelakon antarabangsa seperti Kao Supassara, Philip Keung, Yumi Wong, Eric Lay, Glenn Yong dan Mayiduo.
Kong Tao bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 19 Mac ini.




