Ikuti Kami:

Konflik, Emosi dan Aksi Memuncak dalam Treler Rasmi Kedua Ejen Ali The Movie 2

Konflik, Emosi dan Aksi Memuncak dalam Treler Rasmi Kedua Ejen Ali The Movie 2

Treler rasmi kedua untuk Ejen Ali The Movie 2 akhirnya dilancarkan hari ini, mendedahkan babak-babak padat emosi, konflik mendalam, dan aksi bertaraf antarabangsa yang menjanjikan pengalaman menonton yang lebih dramatik dan mencengkam.

Peminat siri animasi popular ini bakal disajikan dengan naratif yang lebih kompleks dan pertarungan dalaman yang membara apabila filem ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 22 Mei 2025.

Treler tersebut bermula dengan suasana penuh misteri apabila suara menyeru Ali untuk “bangkit”, diikuti dialog penuh makna: “Kerja kita belum selesai…”.

Penonton kemudian diperlihatkan pertembungan emosi antara Ali dan Rizwan — bekas ejen MATA yang kini muncul kembali dengan niat yang tidak jelas.

Ketegangan tercetus apabila Rizwan dilihat bergabung dengan dua antagonis baharu, Dos dan Trez, mencetus persoalan tentang pengkhianatan, niat sebenar dan kesetiaan dalam kalangan watak utama.

Konflik peribadi ini dilatari oleh ancaman lebih besar — kemunculan Neonimus, musuh lama yang menyimpan dendam dan kini merancang untuk menundukkan Cyberaya.

Ali, yang sebelum ini dikenali dengan semangat juangnya, perlu menguasai teknologi baharu: sut Satria, ciptaan terkini agensi perisik MATA berasaskan kecerdasan buatan.

Dalam masa sama, dinamika pasukan turut berubah dengan kehadiran Ketua Teras MATA baharu, Ejen Amir (Neuro) dan Ejen Elle (Inviso), yang membawa pendekatan berbeza dalam menangani krisis.

Ketegangan naratif diperkuatkan dengan paparan visual yang mengagumkan dan muzik latar menggetarkan, termasuk lagu tema rasmi Hanya Kamu oleh Dato’ M. Nasir yang terus meresap ke jiwa peminat.

Aksi kejar-mengejar, pertarungan taktikal, dan letupan berintensiti tinggi memperlihatkan peningkatan ketara dari segi produksi berbanding filem terdahulu.

Pengarah Usamah Zaid Yasin menyifatkan treler ini sebagai gambaran sebenar skala emosi dan konflik yang diketengahkan dalam filem:

“Kami mahu penonton bukan sahaja terhibur dengan aksi, tetapi juga benar-benar menyelami dilema dan perjuangan peribadi Ali. Filem ini adalah tentang pilihan, pengorbanan, dan harapan,” katanya.

Diterbitkan oleh Primeworks Studios dan WAU Animation dengan kerjasama Komet Productions, Ejen Ali The Movie 2 bukan sekadar kesinambungan kepada filem pertama yang meletup pada 2019, tetapi juga naskhah yang lebih matang, menyentuh pelbagai lapisan emosi penonton dari pelbagai peringkat umur.

Pastikan anda tidak terlepas menyaksikan konflik, emosi dan aksi yang memuncak dalam Ejen Ali The Movie 2, bermula 22 Mei 2025 di pawagam seluruh negara!

Komen
Loading...