Kolaborasi Sulung Cherpen, Chubb-E Hasilkan Single ‘Patah Hati’ Berwajah Baharu
- oleh MDaily Editor
- 10 Feb 2026 1:13 pm
Kumpulan Cherpen terus membuktikan kematangan mereka dalam industri muzik tempatan apabila tampil dengan single terbaharu berjudul ‘Patah Hati’, sebuah karya berentak reggae yang menandakan kolaborasi pertama mereka bersama penyanyi rap popular, Chubb-E.
Lagu ‘Patah Hati’ merupakan hasil ciptaan bersama anggota Cherpen iaitu Nemo, Kimie, dan Syahir bersama Chubb-E, manakala liriknya pula mendapat sentuhan kreatif daripada Nemo, Kimie, dan Chubb-E sendiri.
Vokalis Cherpen, Nemo berkata, kolaborasi tersebut tercetus secara tidak dirancang ketika mereka sedang mengolah idea asal lagu berkenaan dengan mencuba elemen rap secara spontan.
“Pada mulanya, kami saja-saja tambah bahagian rap dan dari situ terfikir untuk mencari seorang rapper. Akhirnya, kami bertemu dengan Chubb-E dan terus rasa serasi untuk bekerjasama,” katanya dalam satu kenyataan.
Dari sudut artistik, ‘Patah Hati’ memperlihatkan keberanian Cherpen keluar dari zon selesa. Jika sebelum ini mereka sinonim dengan lagu balada seperti ‘Pasti’ dan ‘Lepaskan’, kali ini mereka mempertaruhkan genre reggae yang lebih santai dan bersahaja.
“Sebelum ini orang kenal Cherpen dengan lagu-lagu ‘slow’, tapi kali ini kami tampilkan elemen ‘feel good’. Walaupun tajuknya ‘Patah Hati’, muziknya tidak terlalu muram,” tambah Nemo lagi.

Sementara itu, Chubb-E menyifatkan peluang bekerjasama dengan kumpulan tersebut sebagai satu pengalaman bermakna kerana dapat menggabungkan dua dunia muzik yang berbeza untuk menghasilkan sesuatu yang segar buat peminat.
“Bila Cherpen hubungi saya dan tunjukkan demo lagu ini, saya terus tertarik dengan ‘vibes’ yang dibawakan. Ia bukan sekadar lagu tentang kecewa, tetapi mesej utamanya adalah agar pendengar lebih menghargai insan yang benar-benar ikhlas mencintai mereka,” jelas Chubb-E.
Single ‘Patah Hati’ terbitan Seventeen Eleven Music kini boleh didengari di semua platform penstriman muzik utama, manakala video muzik rasminya sudah boleh ditonton di saluran YouTube rasmi.




