Kolaborasi Premium AS x Sally Tampil Dengan 6 Rekaan Beg Tangan Mampu Milik
- oleh MDaily Editor
- 15 Oct 2025 10:22 pm

Usahawan selebriti terkenal, Dato’ Sri Aliff Syukri Kamarzaman, terus membuktikan pengaruhnya dalam dunia fesyen apabila melancarkan koleksi beg tangan eksklusif hasil kolaborasi bersama pempengaruh popular, Sally Whoo.
Pelancaran koleksi dinamakan AS x Sally itu berlangsung meriah di Citrine Ballroom, One World Hotel, sebagai tanda perluasan empayar jenama AS yang semakin kukuh di pasaran.
Koleksi AS x Sally mempersembahkan enam rekaan beg tangan baharu dengan gaya moden dan elegan yang menampilkan sentuhan eksklusif hasil gabungan cita rasa Dato’ Sri Aliff Syukri serta elemen berani dan trendy daripada Sally Whoo.
Antara keistimewaan koleksi ini ialah penggunaan material berkualiti tinggi seperti PU leather, glossy, denim dan matte bagi memastikan ketahanan serta keselesaan pengguna tanpa menjejaskan gaya dan penampilan.
Menariknya, harga setiap koleksi ditawarkan antara RM59 hingga RM85 sahaja, menjadikannya mampu dimiliki oleh semua lapisan wanita.
Jualan rasmi akan dijalankan sepanjang Oktober hingga Disember ini melalui rangkaian agen dan stokis sah di seluruh Malaysia, selain turut ditawarkan di platform penstriman langsung seperti TikTok Shop dan Shopee Live.
Menurut Dato’ Sri Aliff Syukri, kolaborasi ini bukan sahaja memperkukuh kedudukan jenama AS di pasaran, malah membuka ruang baharu dalam memperkenalkan konsep fesyen inklusif untuk semua peringkat usia.
Beliau menjelaskan bahawa pemilihan Sally Whoo dibuat selepas diperkenalkan oleh isterinya yang merupakan peminat tegar pempengaruh tersebut.
“Pada awalnya saya tidak mengenali Sally, tetapi selepas mengikuti perkembangannya di media sosial, saya kagum dengan bakat dan pengaruhnya. Dia antara pempengaruh yang sangat outstanding dan memiliki pengikut tersendiri. Ini yang membuatkan saya yakin untuk berkolaborasi dengannya,” katanya.
Beliau turut menambah bahawa harga yang ditawarkan adalah strategi untuk memastikan beg AS kekal relevan dan mudah diakses oleh semua golongan wanita.
“Kami mahu semua wanita mampu memiliki beg yang cantik, bergaya dan berkualiti tinggi dengan harga berpatutan,” ujarnya.
Sementara itu, Sally Whoo yang turut hadir ke majlis pelancaran itu menyifatkan kolaborasi bersama Dato’ Sri Aliff Syukri sebagai satu pengalaman berharga dan rezeki luar jangka, terutama ketika dirinya kini sedang hamil anak kembar.
“Saya anggap ini rezeki anak. Ini kali pertama saya bekerjasama dalam projek beg tangan, sebelum ini saya hanya terlibat dalam bidang solekan. Walaupun Dato’ agak cerewet, tetapi sangat mudah untuk bekerja dengannya kerana beliau sangat profesional dan terbuka,” katanya.
Koleksi AS x Sally bukan sekadar aksesori gaya, sebaliknya menjadi simbol keyakinan dan keanggunan wanita masa kini.
Setiap beg dihasilkan dengan penuh teliti seiring dengan slogan AS, “Designed From The Heart” dan “Sentiasa Bersamamu.”
Kehadiran dua nama besar daripada dunia keusahawanan dan media sosial ini menjadikan kolaborasi AS x Sally satu fenomena fesyen yang dijangka mendapat sambutan hangat di pasaran tempatan menjelang hujung tahun ini.