Ikuti Kami:

Kolaborasi Pertama Bersama Taja, Dukes Tampil dengan “Bila Kau Datang Menangis”

Kolaborasi Pertama Bersama Taja, Dukes Tampil dengan “Bila Kau Datang Menangis”

Band indie tempatan yang semakin menyerlah, Dukes, tampil dengan single terbaharu bertajuk Bila Kau Datang Menangis, hasil kolaborasi pertama mereka bersama pemuzik dan komposer tersohor, Taja daripada kumpulan Meet Uncle Hussain.

Lagu ini menjadi titik tolak penting buat Dukes dalam meneroka susunan muzik yang lebih matang dan berlapis, sambil mengekalkan identiti pop rock moden yang menjadi kekuatan mereka sejak awal.

Bila Kau Datang Menangis mengangkat kisah keinsafan dan keberanian untuk melepaskan hubungan yang tidak menghargai kehadiran diri – tema yang dekat dengan ramai pendengar.

“Kolaborasi bersama Taja memberi kami ruang untuk keluar daripada zon selesa. Kami belajar banyak perkara tentang penyusunan muzik dan bagaimana menyampaikan emosi dengan lebih jujur,” jelas Dukes dalam kenyataan.

Taja, yang terkenal dengan lagu-lagu hits seperti Pokok dan Lagu Untukmu, memainkan peranan penting dalam membentuk struktur lagu ini agar lebih dinamik dan menyentuh hati.

Menurut Dukes, bimbingan Taja membantu mereka memperhalusi pendekatan kreatif dan menambah kedalaman kepada naratif lagu.

“Ini bukan sekadar lagu cinta – ia suara untuk mereka yang mencari kekuatan diri. Dengan sentuhan Taja, lagu ini mencapai dimensi emosi yang lebih luas,” tambah mereka.

Lagu ini ditulis oleh Rayyan Razzaq dan Hazim Osman, dan digubah sepenuhnya oleh ahli kumpulan Dukes sendiri.

Ia berkisarkan seorang lelaki yang sedar dirinya hanyalah ‘persinggahan sementara’ bagi seorang wanita hanya didampingi saat berduka, tetapi diketepikan saat bahagia. Akhirnya, dia memilih untuk bangkit dan melepaskan.

Dukes, yang terdiri daripada Ziggy (vokalis), Rayyan (gitaris), Jimbo (gitaris), Umar (bassis) dan Cheng (dram), menyifatkan pengalaman menghasilkan lagu ini sebagai satu cabaran yang mencabar keupayaan mereka dari segi teknikal dan emosi.

Bila Kau Datang Menangis kini boleh distrim di semua platform digital utama seperti Spotify, Apple Music dan YouTube.

Kolaborasi ini bukan sahaja menandakan fasa baharu dalam perjalanan seni Dukes, malah membuka lembaran baharu dalam pencarian suara dan identiti muzik mereka di pentas arus perdana.

Komen
Loading...