Ikuti Kami:

Kolaborasi HWC COFFEE dan BAPE Café Tawar Pengalaman Kopi Eksklusif

Kolaborasi HWC COFFEE dan BAPE Café Tawar Pengalaman Kopi Eksklusif

Gabungan dua jenama besar, HWC COFFEE dan BAPE Café, membuka lembaran baharu budaya kopi di Malaysia menerusi pelancaran rasmi BAPE Café x HWC COFFEE Grand Launch di Suria KLCC.

Kerjasama ini disifatkan sebagai satu langkah berani yang menyatukan budaya kopi premium dengan gaya hidup jalanan, sekali gus menawarkan pengalaman eksklusif buat pelanggan tempatan.

Majlis pelancaran yang berlangsung meriah itu dihadiri barisan pengurusan tertinggi kedua-dua pihak, termasuk Ketua Pegawai Eksekutif HWC COFFEE, Zenda Ng, dan Ketua Pegawai Kewangan BAPE Café, Philip.

Menurut Zenda Ng, pihaknya amat berbesar hati dengan kejayaan pelancaran tersebut kerana ia menandakan detik penting dalam perkembangan jenama HWC di pasaran Malaysia.

“Ini bukan sekadar kolaborasi, tetapi bermulanya era baharu apabila BAPE Café kini menjadi sebahagian daripada HWC COFFEE. Ia memberi peluang kepada kami untuk memperluaskan budaya kopi ke peringkat lebih tinggi dengan menggabungkan elemen gaya hidup, fesyen dan kreativiti,” katanya.

Pelancaran tersebut turut memperkenalkan dua kopi istimewa yang dinanti-nantikan, iaitu Panama Geisha Blend dan Panama Los Lajones Geisha Honey 12D (LLGH).

Panama Geisha Blend kini boleh dinikmati di semua cawangan HWC COFFEE dengan caj tambahan RM2, manakala Panama Los Lajones Geisha Honey 12D ditawarkan secara eksklusif di BAPE Café x HWC COFFEE KLCC dengan harga RM59 secawan atau RM299 bagi 227 gram.

Disebabkan kuantiti yang terhad, permintaan dijangka mengatasi bekalan dalam tempoh singkat.

Menambah nilai kreatif, HWC turut melancarkan drama menegak asli bertajuk Cinta Si Coffee Hunter yang mengetengahkan elemen penceritaan unik berkaitan kopi.

Drama arahan Azhar Jalil dan diterbitkan oleh Ilham ABATA itu menampilkan pelakon popular termasuk Syafitea, Dayang Areeda, Nasz Sally, AG Hafiz, Ayan Rahman dan Qara Lyana. Drama ini akan ditayangkan di saluran TikTok rasmi HWC sepanjang Oktober dengan satu episod tiga minit setiap hari.

Majlis yang dimeriahkan dengan tayangan muzik video baharu HWC dan persembahan tarian energik itu turut diakhiri dengan Guest DJ Coffee Rave Party oleh Ashley Lau yang menampilkan muzik secara langsung, hadiah serta aktiviti interaktif.

Kolaborasi ini membuktikan bahawa dunia kopi kini bukan lagi sekadar tentang minuman, tetapi juga menjadi satu gaya hidup moden dengan BAPE Café kini rasmi bergabung dalam keluarga besar HWC COFFEE.

Komen
Loading...