Kolaborasi Filem Malaysia–Taiwan, ‘Sayang’ Sasar Tayangan Global 2026
- oleh Mohd Indera
- 50 saat lalu

Dunia bakal menyaksikan hasil kerjasama sinematik istimewa antara Malaysia dan Taiwan menerusi filem Sayang, sebuah naskhah sarat emosi dan nilai perpaduan yang dirancang untuk tayangan global pada tahun 2026.
Filem ini mencuri tumpuan bukan sahaja kerana tema kemanusiaan dan keindahan budaya Malaysia, tetapi juga kerana ia menjadi filem cereka pertama arahan Tang Hsiang-Chu, pengarah dokumentari terkenal Taiwan yang pernah meraih Anugerah Dokumentari Terbaik di Golden Horse Awards ke-39.
Diterbitkan bersama oleh More Entertainment Sdn Bhd (Malaysia) dan IS Entertainment Co., Ltd (Taiwan), Sayang turut melibatkan syarikat produksi ternama seperti Astro Shaw, TAICCA, Applause Entertainment dan Taipei Film Commission.
Dengan barisan penerbit berpengalaman seperti Jin Ong dan Yeh Ju-Feng, projek ini disifatkan antara filem tempatan paling berskala antarabangsa pernah dihasilkan.
“Matlamat kami bukan sahaja untuk tayangan tempatan, tetapi membawa Sayang ke pentas dunia,”
“Kisahnya bersifat universal, tentang kasih, identiti dan hidup harmoni dalam kepelbagaian.” kata Jin Ong yang juga penerbit eksekutif filem ini.
Dari kiri: Nur Farahaizah Ahmad, Zaharuddin, Amir Ahnaf, Mhia Farhana, Khir Rahman
Sayang mengetengahkan gabungan pelakon Malaysia dan Taiwan, antaranya Amir Ahnaf, Farah Ahmad, Khir Rahman, Mhia Farhana, Tang Yung-Hsu dan Lee Lee-Zen.
Kisahnya berkisar kehidupan tiga remaja berlainan latar kaum yang membesar di Kelantan dan Terengganu, negeri yang jarang diberi fokus dalam filem berskala antarabangsa.
Pengarah Tang berkata ilham menghasilkan Sayang tercetus lebih 10 tahun lalu setelah menyaksikan keharmonian kaum ketika bekerja di Pantai Timur.
Penerbit Eksekutif Yeh Ju-Feng, Pengarah Tang Hsiang-Chu, Penerbit Eksekutif Jin Ong, Penerbit Nicole Teoh
Skrip yang mula ditulis sejak 2011 itu akhirnya digerakkan semula selepas beliau bertemu penerbit Nicole Teoh pada tahun 2021.
“Filem ini adalah penghormatan saya kepada Malaysia. Ia bukan sekadar filem pelbagai bahasa, tetapi juga menggambarkan kekuatan sebuah negara yang menyatukan perbezaan,” katanya.
“Saya berharap Sayang dapat menyentuh hati penonton di mana sahaja mereka berada.” tambahnya.
Sayang turut mencuri perhatian sejak di peringkat pembangunan apabila skripnya memenangi Anugerah Skrip Cemerlang ke-44 (Kategori Khas) daripada Kementerian Kebudayaan Taiwan dan tersenarai dalam program Golden Horse Film Project Promotion 2022.
Astro Shaw selaku pengedar di Malaysia menegaskan komitmen mereka dalam membawa filem ini ke pasaran antarabangsa. Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berkata filem ini bukan sekadar hiburan, malah mencerminkan semangat Malaysia sebenar.
“Gabungan dua negara membawa elemen baharu dalam bercerita dan menambah kedalaman dalam filem ini,” ujarnya.
Dari kiri: Nandagopall, Tang Yung Hsu, Mhia Farhana.
Dari segi produksi, filem ini dibarisi pasukan kreatif antarabangsa termasuk pengarah fotografi Kartik Vijay (India), pereka bunyi legenda Tu Duu-Chih, pereka visual Tomi-Kuo serta pengarah muzik RYOTA Katayama.
Pelakon muda Taiwan, Tang Yung-Hsu, mengakui pengalamannya membintangi Sayang sangat mencabar dan bermakna.
“Saya pelajari bahasa isyarat Malaysia, bergaul dengan komuniti OKU dan jatuh cinta dengan makanan tempatan seperti nasi kerabu,” katanya.
Sementara itu, pelakon veteran Taiwan, Lee Lee-Zen, menyifatkan Sayang sebagai pengalaman kerja lintas budaya yang paling indah dalam kerjayanya.
“Kami datang dari latar berbeza tetapi bersatu dengan satu matlamat, menyampaikan cerita yang ikhlas.” katanya.
Dengan segala kekuatan dari aspek naratif, produksi dan barisan kreatif, Sayang disasarkan untuk menjelajah festival filem utama dunia sebelum tayangan umum pada 2026.
Filem ini bukan sahaja menjadi lambang kerjasama dua negara, tetapi turut membawa harapan untuk memperkenalkan keunikan Malaysia ke pentas global.