
Penyanyi dan pelakon terkenal, Daiyan Trisha, 31, membawa kelainan dalam sambutan Syawal tahun ini menerusi single raya terbaharunya berjudul Jom Raya.
Lagu yang telah dilancarkan pada 28 Februari lalu ini menampilkan kolaborasi istimewa bersama Alfie Zumi, sekali gus memberi warna baharu kepada industri muzik tanah air.
Menurut Daiyan, Jom Raya sebenarnya sudah disiapkan sejak setahun lalu, tetapi hanya dapat dirakamkan tahun ini akibat kekangan masa.
“Ini merupakan lagu raya pertama saya dan ia sangat mengujakan. Sebenarnya lagu ini sudah separuh siap tahun lalu tetapi saya tangguhkan dahulu. Tahun ini saya hanya membuat beberapa penambahbaikan sebelum merakamkannya,” ujar pelakon Projek High Council itu.
Kolaborasi bersama Alfie Zumi ternyata menjadi satu keputusan tepat kerana ia melengkapkan konsep lagu yang bertemakan ‘pick-up line’ moden.
Daiyan menjelaskan bahawa inspirasi lagu ini datang daripada trend pengguna media sosial yang sering menggunakan ‘pick-up line’ berkaitan jodoh setiap kali lebaran tiba.
“Saya mahu menghasilkan lagu raya yang menggunakan patah perkataan menarik serta sesuai dengan gaya moden dan tradisional,” katanya.
Gandingan Daiyan dan Alfie bukan sahaja menjadikan lagu ini lebih unik, malah mereka turut merancang untuk berduet dalam projek lain pada masa akan datang.
Jom Raya juga hadir dalam dua versi, termasuk versi solo yang bakal dilancarkan di semua platform digital pada 21 Mac ini.
Sementara itu, muzik video (MV) Jom Raya turut menampilkan Kasih Leona dan Jazmy Juma serta memberikan suasana berbeza dengan menampilkan lokasi rumah moden di tengah bandar sebagai latar utama.
Berbeza dengan kebiasaan MV lagu raya yang mengetengahkan kemeriahan suasana kampung, Daiyan mahu mencerminkan realiti kebanyakan individu yang menyambut Syawal di bandar.
Pengarah MV, Abu Hsvii, berjaya menyampaikan elemen keakraban dan kemesraan yang mencerminkan suasana lebaran masa kini.
Dengan gabungan elemen moden dan tradisional, Jom Raya bukan sekadar sebuah lagu raya biasa, tetapi satu karya segar yang menampilkan identiti tersendiri.
Lagu ini kini boleh distrim di semua platform digital, manakala MV rasmi boleh ditonton di saluran YouTube Daiyan Trisha.
Jadi, jangan lupa untuk nikmati Jom Raya dan mungkin liriknya akan menghidupkan kisah raya anda tahun ini!