Kmy Kmo, Luca Sickta ‘Tegur’ Masyarakat Menerusi Kertas Wangi
- oleh MDaily Editor
- 25 Jan 2026 3:02 pm
Konsisten dalam memartabatkan sastera dan warisan dalam muzik moden, duo rap berpengaruh, Kmy Kmo dan Luca Sickta kembali menggugah pemikiran peminat menerusi buah tangan terbaharu mereka berjudul Kertas Wangi.
Single yang diterbitkan di bawah label Sony Music Entertainment Malaysia itu bukan sekadar karya hiburan kosong, sebaliknya sarat dengan kritikan bermadah terhadap realiti masyarakat hari ini yang sering terjebak dalam perlumbaan kebendaan.
Kmy Kmo atau nama sebenarnya, Lukmanul Hakim, menyifatkan Kertas Wangi sebagai satu bentuk refleksi jujur mengenai bagaimana nilai materialistik mampu mengaburi mata dan hati manusia.
“Inspirasi lagu ini lahir daripada pemerhatian saya terhadap kehidupan seharian. Kita semua diuji dengan godaan dunia, kadangkala tanpa sedar kita berlumba gaya sehingga mengaburi nilai budi dan jati diri.
“Metafora ‘Kertas Wangi’ itu sendiri melambangkan bagaimana wang boleh menutup nilai sebenar manusia. Ia adalah cerminan diri bagi saya dan sesiapa sahaja yang mendengarkannya,” katanya pada majlis pelancaran single berkenaan di bangunan warisan ikonik, Pasar Seni (Central Market), di sini, semalam.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengarah Urusan Sony Music Entertainment Malaysia, Singapura, Vietnam & Projek Khas Asia Tenggara, Kenny Ong.
Sementara itu, Luca Sickta menjelaskan bahawa Kertas Wangi merupakan adunan unik yang menggabungkan elemen rap moden dengan sentuhan tradisi Pantai Timur seperti Dikir Barat.
Jelasnya, penggunaan elemen tradisi dalam susunan vokal latar dan harmoni bertujuan untuk mengekalkan ‘jiwa’ Melayu walaupun lagu tersebut bersifat kontemporari.
“Saya mahu lagu ini kedengaran segar tetapi tetap mempunyai akar budaya yang kuat. Beat yang tegas dipadankan dengan rasa Dikir Barat supaya mesej berat mengenai tekanan hidup dan nilai diri dapat disampaikan dengan lebih jujur.
“Mesej paling penting yang ingin kami bawa adalah jangan biarkan dunia material menguasai jiwa. Ini adalah ‘tegaran’ lembut untuk kita semua kembali menilai apa yang benar-benar penting dalam hidup,” tambah Luca.
Majlis pelancaran tersebut diadakan dengan penuh warna-warni bersempena dengan acara Hari Kantin by Pasar Seni anjuran Pesta Kita yang berlangsung selama tiga hari.
Sebagai info, Kertas Wangi kini sudah boleh didapati di semua pelantar digital utama seperti Spotify, Apple Music, dan YouTube Music.
Duo ini juga mendedahkan mereka kini sedang dalam perancangan untuk menghasilkan album penuh sebagai fasa seterusnya dalam kerjaya muzik mereka.




