Kluster Sivagangga: 10 Sekeluarga Dari Perlis Positif COVID-19
- oleh Mohd Indera
- 4 tahuns lalu
10 orang sekeluarga disahkan positif Covid-19 di Perlis berkaitan Kluster Sivangangga yang bermula di Napoh, Jitra.
Mereka terdiri daripada ibu dan bapa, anak berumur 40 tahun, 35 tahun, 27 tahun, 21 tahun, 16 tahun, 13 tahun , 11 tahun dan 3 tahun. Semuanya berasal dari Kg. Tanah Timbul, Sanglang.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata jangkitan bermula dari kes pertama dikesan di negeri itu 4 Ogos lalu.
“Kes ke-9054 adalah pelanggan tetap restoran milik kes induk kluster berkenaan. Kes generasi kedua itu menjangkiti 10 ahli keluarga lain yang merupakan generasi ketiga.
“Kesemua kes baharu ini tidak bergejala dan telah dimasukkan di Hospital Tuanku Fauziah untuk rawatan,” katanya dalam kenyataan media.
Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man berkata, Perlis mungkin mempertimbangkan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (TEMCO) di kawasan tertentu di Perlis, Azlan berkata, ketika ini pihaknya akan menumpukan langkah berkenaan di Sanglang.
“Jadi kita minta penduduk di Sanglang dan sekitar kawasan berkenaan bersedia dari segi mental dan fizikal sekiranya TEMCO dilaksanakan.
“Cuma keputusan untuk menutup dua sekolah terbabit belum diputuskan dan hanya akan diketahui dalam masa terdekat kerana fokus kita adalah untuk kenal pasti kontak pesakit melalui saringan,” katanya.