Ikuti Kami:

Kluster IPD Gombak, Orang Awam Tidak Perlu Bimbang

Kluster IPD Gombak, Orang Awam Tidak Perlu Bimbang

Orang ramai dinasihatkan agar tidak gusar berhubung kes positif COVID-19 di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak ketika ini.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, berkata orang ramai yang telah berurusan atau akan berurusan di IPD Gombak tidak perlu bimbang kerana mereka yang positif tidak berurusan dengan pihak awam.

“Proses sanitasi, pengukuran suhu, penggunaan pencuci tangan, pemakaian pelitup muka serta penjarakan sosial telah diamalkan di IPD ini.

“Kes pertama dikesan positif di perumahan IPD Gombak pada 18 Mei lalu melibatkan anak kepada seorang anggota polis, umur 16 tahun seorang pelajar,” katanya.

Menurutnya, semua ahli keluarga serta kawan rapat pelajar tersebut telah disaring dan keputusannya negatif.

“Kecuali ibunya yang merupakan anggota polis IPD Gombak dan seorang rakannya yang berumur 17 tahun.

“Saringan kontak rapat anggota tersebut telah dibuat pada 22 Mei melibatkan lebih kurang 200 pegawai dan kakitangan IPD Gombak dan keputusannya negatif kecuali seorang sahaja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Arifai berkata, proses sanitasi pejabat dan rumah telah dibuat sejurus selepas itu dan tiada kes positif dilaporkan.

“Namun semalam (6 Jun) dimaklumkan seorang Pegawai Kanan IPD Gombak yang telah bertukar pada 1 Jun lalu dikatakan positif saringan kedua.

“Tindakan segera telah diambil dengan melakukan saringan semula kesemua kontak rapat pegawai tersebut dan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengarahkan 12 orang dikuarantin sementara menunggu keputusan,” katanya.

Katanya, tiga daripada mereka yang positif sebelum ini telah sembuh dan discaj dari hospital, manakala dua lagi masih menerima rawatan dan dalam keadaan sihat.

Hari ini, KKM memaklumkan pihaknya mengesan satu kluster baharu di Gombak melibatkan kakitangan IPD Gombak.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Nor Hisham Abdullah berkata, ianya selepas lima kes positif wabak itu dikesan di lokasi berkenaan.

Foto : malaysiagazette, harian metro

Komen
Loading...