Ikuti Kami:

KLP48 Cari Bintang Baharu: Ujibakat Generasi Kedua “BLOOM” Kini Dibuka

KLP48 Cari Bintang Baharu: Ujibakat Generasi Kedua “BLOOM” Kini Dibuka

Kumpulan idol Malaysia yang semakin mencuri perhatian, KLP48, kini membuka lembaran baharu dalam perjalanan mereka dengan melancarkan ujibakat Generasi Kedua bertemakan “BLOOM”.

Inisiatif ini bertujuan mencari wajah dan bakat baharu yang bakal menyerlah di pentas tempatan dan antarabangsa.

Ujibakat yang bermula 1 Julai hingga 1 Ogos 2025 ini terbuka kepada semua gadis berumur antara 13 hingga 23 tahun, tanpa mengira warganegara.

Proses permohonan hanya memerlukan penghantaran video berdurasi maksimum 90 saat – sama ada nyanyian atau tarian – melalui laman web rasmi klp48audition.com.

KLP48 yang ditubuhkan pada tahun lalu di bawah naungan AKB48, telah menunjukkan prestasi membanggakan dengan persembahan yang memukau serta sokongan peminat yang semakin meluas.

Malah, beberapa ahlinya telah dijemput membuat persembahan di Jepun – satu pencapaian yang mengangkat nama KLP48 ke tahap lebih tinggi.

Calon yang disenarai pendek akan menghadiri sesi saringan bersemuka di Kuala Lumpur pada 23 dan 24 Ogos 2025. Mereka yang berjaya akan mara ke pusingan akhir ujibakat yang dijadualkan berlangsung pada 6 dan 7 September 2025.

Menurut Pengarah 48 Entertainment Sdn Bhd, Yip Jun Huei, pencarian ini bukan sekadar memilih ahli baharu, tetapi juga membina masa depan KLP48 dengan wajah-wajah yang mampu membawa semangat dan nilai kumpulan idol ini ke hadapan.

“Kami amat teruja untuk mencari generasi baharu yang akan berkembang bersama KLP48. Ini adalah peluang besar buat mereka yang bercita-cita menjadi idol profesional. Jangan lepaskan peluang ini,” katanya.

Ujibakat ini turut membuka ruang kepada orang ramai untuk mencalonkan individu yang mereka rasakan sesuai dan berbakat. Bagi pemohon di bawah umur 18 tahun, kebenaran ibu bapa atau penjaga adalah diwajibkan.

Sebagai kumpulan adik rasmi ke-10 AKB48 di luar Jepun, KLP48 kini menyertai rangkaian kumpulan idol terkenal seperti JKT48 (Jakarta), BNK48 (Bangkok), MNL48 (Manila), serta Team SH, TP, SGO48, CGM48, DEL48 dan MUB48.

Ikuti perkembangan terkini mengenai KLP48 dan kempen “BLOOM” di TikTok (@klp48_official), serta Instagram dan Facebook (@KLP48official).

Komen
Loading...