KLP48 Anjur Konsert Bertaraf Antarabangsa Sempena Ulang Tahun Pertama
- oleh Mohd Indera
- 1 Jul 2025 5:00 pm

Kumpulan idola tempatan, KLP48, akan menganjurkan konsert berskala antarabangsa bertajuk “〜BLOOM〜” sempena ulang tahun pertama penubuhannya, yang dijadual berlangsung pada 16 Ogos ini di Zepp Kuala Lumpur.
Konsert itu dianjurkan oleh 48 Entertainment Sdn Bhd dan bakal menampilkan persembahan bertenaga daripada 13 ahli kumpulan tersebut yang terdiri daripada wakil Malaysia, Jepun, Indonesia dan Hong Kong, termasuk tiga ahli pemindahan dari kumpulan AKB48 dan STU48.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan hari ini, KLP48 ditubuhkan pada tahun 2024 sebagai sebahagian daripada pengembangan konsep “idola yang boleh ditemui” yang diperkenalkan oleh penerbit tersohor Jepun, Yasushi Akimoto menerusi rangkaian AKB48.
Konsert itu turut diserikan dengan kehadiran tiga artis jemputan iaitu kumpulan idola JKT48 dari Indonesia, penyanyi solo tempatan Ismail Izzani serta kumpulan wanita tempatan COËX yang kini semakin mendapat tempat di hati peminat.
Sejak ditubuhkan, KLP48 telah menarik perhatian peminat bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di Jepun dan beberapa pentas antarabangsa lain, sekaligus menunjukkan potensi besar kumpulan tersebut dalam mewakili Malaysia di arena hiburan serantau.
Tiket bagi konsert tersebut akan mula dijual pada Khamis ini, 3 Julai 2025, bermula jam 12 tengah hari melalui laman sesawang www.excitix.com.my.
Harga tiket ditawarkan antara RM100 hingga RM350, termasuk manfaat eksklusif seperti bendera rasmi KLP48 serta peluang menyertai sesi penghantaran istimewa (send-off session) bersama artis terlibat. Setiap pembelian dihadkan kepada dua tiket dan tertakluk kepada caj pemprosesan RM4.
Maklumat lanjut mengenai konsert boleh diperoleh melalui laman media sosial rasmi kumpulan itu di TikTok (@klp48_official), Instagram dan Facebook (@KLP48official), atau menerusi laman web www.klp48.my.