Ikuti Kami:

“Klepet”: Gabungan Aksi, Komedi & Persahabatan ‘Hero Malaya’

“Klepet”: Gabungan Aksi, Komedi & Persahabatan ‘Hero Malaya’

Tiga pelakon lelaki popular tanah air, Aedy Ashraf, Meerqeen dan Nadhir Nasar, bergabung tenaga dalam filem aksi komedi terbaharu berjudul Klepet, yang mengetengahkan kisah pengembaraan penuh kekacauan serta nilai persahabatan sejati.

Filem terbitan Wawa Global Sdn Bhd dan arahan Indra Putra atau Sanji ini menampilkan pendekatan segar yang menggabungkan elemen aksi, komedi dan mesej sosial yang dekat dengan jiwa anak muda.

Menurut Indra, Klepet membawa kelainan tersendiri meskipun dihasilkan sebagai hiburan ringan kerana ia disusun dengan elemen komedi pelbagai lapisan yang mampu menarik penonton dari pelbagai peringkat usia.

“Filem ini bukan sekadar hiburan kosong. Ia menggabungkan unsur komikal, animasi dan lawak spontan yang disesuaikan mengikut situasi. Gabungan tenaga muda serta kreativiti pelakon menjadikan Klepet berbeza daripada filem aksi komedi lain,” katanya.

Selain tiga pelakon utama itu, filem berkenaan turut dimeriahkan dengan kemunculan Aeril Zafrel, Joey Daud, Eric Fuzi, Namie SMY, Adlin Aman Ramlie, serta pelakon kelahiran Ukraine, Darina Porhun, yang membawa watak gadis misteri bernama Lola.

Penerbit bersama, Aeril Zafrel, berkata Klepet bukan sekadar filem komedi ringan, sebaliknya membawa mesej tentang nilai persahabatan, pengorbanan dan kepekaan terhadap kehidupan sekeliling.

“Kami mahu Klepet menjadi karya yang mencerminkan semangat anak muda. Ia bukan hanya untuk ketawa, tetapi juga menyampaikan nilai murni yang menginspirasi penonton untuk menghargai makna persahabatan sejati,” katanya.

Aeril turut memaklumkan bahawa penggambaran dijalankan sepenuhnya di Melaka selama 25 hari dengan kos penerbitan RM2.6 juta. Filem ini turut menerima bantuan Dana Kandungan Digital (DKD) daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) bagi menyempurnakan proses pascaproduksi.

“Kami berterima kasih kepada FINAS atas sokongan mereka dalam membantu menjayakan penerbitan ini. Dana pelengkap yang disalurkan amat penting bagi memastikan kualiti filem mencapai tahap terbaik,” tambahnya.

Filem ini mengisahkan tiga sahabat baik Pali (Aedy Ashraf), Jani (Nadhir Nasar) dan Wadi (Meerqeen) memulakan perjalanan santai menaiki motorhome untuk bercuti bersama. Namun, segalanya berubah apabila mereka terserempak dengan Lola (lakonan Darina Porhun), seorang gadis misteri dari Ukraine yang muncul secara tiba-tiba.

Kehadiran Lola membawa mereka ke dalam kancah kekacauan apabila muncul pula seorang pembunuh upahan (Aeril Zafrel) dan penemuan wang misteri yang mengubah percutian mereka menjadi pengembaraan paling mencabar dan lucu dalam hidup.

Mampukah mereka bertahan dan menyelamatkan diri daripada kekacauan yang dicipta sendiri, atau hanyut bersama ‘klepet’ kehidupan mereka?

Filem Klepet dijadual menemui penonton di pawagam seluruh negara mulai 27 November 2025, menjanjikan pengalaman tontonan penuh aksi, gelak tawa dan semangat persahabatan yang menghiburkan seisi keluarga.

Untuk maklumat lanjut serta pembelian tiket, layari laman web rasmi tgv.com.my 

Komen
Loading...