Ikuti Kami:

KL Street Arts Festival 2026: Baba Andy, Maman Teacher’s Pet Antara Barisan Artis Bakal Beraksi

KL Street Arts Festival 2026: Baba Andy, Maman Teacher’s Pet Antara Barisan Artis Bakal Beraksi

Ikon muzik tempatan, Baba Andy dan Maman Teacher’s Pet antara barisan penghibur utama yang bakal memeriahkan KL Street Arts Festival 2026, yang dijadualkan berlangsung di lokasi ikonik Jalan Raja, Dataran Merdeka pada 20 Jun ini.

Festival yang menggabungkan elemen seni urban, muzik jalanan dan budaya kreatif itu merupakan kolaborasi strategik bersama program KL Street Jam bagi meraikan kepelbagaian kreativiti penggiat seni.

Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN), Dato’ Freddie Fernandez berkata, penganjuran festival berskala komuniti itu bertujuan mengangkat bakat seni jalanan serta memperkukuhkan Kuala Lumpur sebagai sebuah kota seni yang progresif dan aktif.

“Selain persembahan pentas daripada artis ternama seperti Aru Peruzza dan Muzza’s Velvettones, festival ini turut menyediakan pengisian inklusif merangkumi seni visual, buskers, bengkel kraf serta seminar seni bersama panel kreatif tempatan dan antarabangsa,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Program, Ahmad Abdullah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada rakan strategik yang menjayakan festival ini, terutamanya dalam usaha membela nasib para penggiat seni jalanan.

“Kami di KARYAWAN ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Yayasan Hasanah atas sokongan padu mereka.

“Kerjasama ini bukan sahaja memberi ruang ekonomi kepada artis, malah memperkasakan inisiatif ‘Seniman Kota’ yang menjadi platform penting bagi penghibur jalanan berpermit di ibu kota,” katanya.

Beliau menambah, penglibatan AADK menerusi kempen “Muzik Tanpa Dadah” adalah langkah tepat dalam memastikan industri seni tanah air kekal bersih dan menjadi teladan yang baik kepada golongan belia.

Festival yang bermula dari jam 12.00 tengah hari hingga 11.00 malam itu turut mendapat sokongan Yayasan Hasanah menerusi inisiatif Arts for All Seasons (ArtsFAS), yang komited dalam memelihara dan memulihara warisan seni serta budaya Malaysia melalui penyediaan dana dan ruang persembahan.

Selain persembahan muzik, pengunjung berpeluang menyertai sesi klinik seni origami oleh Yosh Studio serta perkongsian seni khat oleh pengkarya asal Mesir, Cheb Ali, selain kehadiran hampir 20 pempamer seni dan kraf tempatan.

Kemasukan ke KL Street Arts Festival 2026 adalah percuma dan orang ramai dijemput hadir bagi memeriahkan festival seni urban terbesar di ibu kota itu.