Ikuti Kami:

KL Seni & STEM Festival 2025 Gabung Daya Kreatif Seni dan Sains di KLCC

KL Seni & STEM Festival 2025 Gabung Daya Kreatif Seni dan Sains di KLCC

Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP) dan Petrosains sekali lagi mengangkat semangat kreativiti dan inovasi melalui penganjuran KL Seni & STEM Festival 2025 (KLSSF 2025) yang bakal berlangsung dari 21 hingga 23 November 2025 di Plaza 20008, KLCC Park.

Festival yang dibuka secara percuma kepada orang ramai ini menampilkan gabungan unik antara seni, warisan budaya dan sains dengan tema “Where Arts, Heritage and Science Unite”, menjadikannya antara acara komuniti paling dinanti penghujung tahun ini.

Menurut kenyataan bersama DFP dan Petrosains, festival itu merupakan kolaborasi sulung antara dua entiti di bawah PETRONAS yang bertujuan memperkukuh keterlibatan masyarakat dalam bidang seni dan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) melalui pendekatan kreatif dan interaktif.

“Matlamat kami adalah untuk menjadikan seni dan sains lebih inklusif serta mudah diakses, selain memperkasa masyarakat untuk meneroka dunia kreativiti dan inovasi dengan cara yang menyeronokkan,” menurut kenyataan itu.

Sejak ditubuhkan pada 1999, Petrosains, The Discovery Centre telah memainkan peranan penting dalam mencetuskan minat terhadap sains melalui pameran dan program pendidikan interaktif yang menjangkau pelbagai lapisan masyarakat, termasuk komuniti luar bandar dan masyarakat Orang Asli.

Manakala DFP, yang sinonim dengan pementasan muzik bertaraf dunia, kini memasuki tahun ketujuh penganjuran festival seumpama itu bagi memperkukuh peranan sebagai platform pemeliharaan seni dan warisan tempatan.

Festival tiga hari itu akan dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik seperti pasar warisan yang mempamerkan hasil seni dan kraf tradisional termasuk batik, ukiran kayu, tembikar, sulaman manik, kebaya Nyonya, saree dan aksesori mutiara.

Pentas utama Plaza 20008 pula bakal menampilkan persembahan kebudayaan dan muzik tradisional oleh artis serta kumpulan seni tempatan yang terkenal, bagi menghidupkan suasana budaya Malaysia di tengah-tengah ibu kota.

Petrosains turut membawa elemen pendidikan menyeronokkan melalui pertunjukan sains seperti Hue Done It? dan Circular Fuel Show, serta bengkel interaktif Light Works, DIY Instrument, Pancasains: Hue Card Game, Fingers First dan Bottle Beats yang menyatukan elemen seni dan sains.

Festival ini akan berlangsung dari 10 pagi hingga 10 malam setiap hari dan dijangka menarik ribuan pengunjung tempatan serta pelancong asing, sekaligus menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.

Prasarana (M) Bhd. bertindak sebagai penaja platinum, KLCC Properties sebagai lokasi rasmi, dan The RuMa Hotel & Residences sebagai hotel rasmi festival tersebut.

Antara rakan strategik lain termasuk Tourism Malaysia, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Akademi Sains Malaysia, Pusat Sains Negara, Planetarium Negara, LOCCO, MESRA Retails & Café, serta Pesta Kita Festival.

Penganjuran KL Seni & STEM Festival 2025 dijangka bukan sahaja memperkukuh ekosistem seni dan sains negara, tetapi juga memperkasa hubungan komuniti, pendidikan serta sektor pelancongan melalui semangat perpaduan dan inovasi.

Komen
Loading...