Filem seram terbaru, EMP4T, bakal membawa penonton menyelami kegelapan trauma dan sumpahan yang menghantui kehidupan empat sahabat.
Filem arahan Ayez Shaukat Fonseka dan Silver Yee ini akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 16 Januari 2025.
Gabungan elemen persahabatan dan misteri dunia ghaib menjadikan filem ini sebuah karya seram yang unik, menawarkan pengalaman psikologi yang mendalam dan menggetarkan.
Filem ini Mengisahkan Sree (Adriana Adnan), seorang gadis yang memiliki kelebihan melihat makhluk halus, EMP4T membawa penonton mendalami kehidupannya yang penuh kesunyian dan trauma.
Bersama tiga sahabatnya – Diana (Riesha Aslan), Arman (Syafie Naswip), dan Erika (Alvy Joanna) – mereka berusaha mengungkap rahsia gelap yang menghantui hidup mereka sejak kecil.
Sebuah peristiwa aneh memulakan siri gangguan misteri yang berkait rapat dengan sumpahan darah masa lalu.
Empat sekawan ini perlu merungkai misteri tersebut sebelum rahsia silam meragut segalanya daripada mereka.
Dengan pengalaman luas Ayez Shaukat Fonseka dalam filem seperti Ngesot dan Projek Kahar Kapla High Council, EMP4T memadukan elemen seram yang segar dengan naratif mendalam.
Menariknya, EMP4T telah menerima pengiktirafan antarabangsa apabila berjaya meraih anugerah di Festival Filem Asia-Pasifik ke-61 (APFF) yang berlangsung di Wyndham Ion Majestic Hotel, Genting Highlands, Pahang, Disember lalu.
Kejayaan ini mengukuhkan lagi reputasi filem tersebut sebagai salah satu karya terbaik dalam genre seram tempatan.
Diterbitkan oleh Lomo Pictures Sdn Bhd, penerbit eksekutif Fortune Studio, Parent Child Business Garden, Insight MM2H, My Best Delivery, Definitive Entertainment, Iceberg Post, AIQ Family Office, Tubedown dan pengedar Mega Film Distribution.
Filem ini juga menjadi debut bagi tiga pelakon utama – Adriana Adnan, Alvy Joanna, dan Riesha Aslan – yang bersinar bersama Syafie Naswip.
Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan EMP4T di pawagam seluruh negara bermula 16 Januari 2025.