Kisah Tragis Bayi Adham Mikail: Peguam Pertikai Tindakan Hospital
- oleh Mohd Indera
- 2 minggu lalu
Terdahulu Pengasas Unit Khas Van Jenazah (UKVJ), yang dikenali sebagai Mr Wan Cai, berkongsi kisah sedih mengenai jenazah bayi bernama Muhammad Adham Mikail yang didakwa dibekukan selama 16 hari di sebuah hospital swasta.
Tindakan itu didakwa berlaku kerana si bapa tidak mampu membayar kos perubatan.
Hospital itu dalam kenyataan medianya menafikan dakwaan bahawa mereka memaksa seorang pesakit membayar bil hospital sebelum membenarkan mayat bayinya dikebumikan.
Insiden ini menimbulkan kemarahan ramai, termasuk peguam terkenal, Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar, yang tampil menyuarakan pendapatnya.
Dalam satu sesi siaran langsung di TikTok, Ahmad Zaharil mempertikaikan tindakan hospital yang turut menahan ibu bayi tersebut selama 16 hari di wad.
“Apa hak kau (hospital) nak tahan anak guam aku dan apa undang-undang yang kau pakai? Kau pakai agreement? Agreement itu adalah bukti dia pernah datang, tetapi apabila kau tahan dia, itu adalah satu bentuk elemen jenayah,” katanya dengan nada tegas.
Beliau juga mempersoalkan mengapa pihak hospital tidak membawa kes itu kepada pihak polis sekiranya wujud isu pembayaran.
“Kenapa hospital buat tindakan sendiri dan tak bawa ibu arwah ni ke balai? Ada je balai berdekatan dengan hospital. Faktanya di sini ialah pihak hospital tahan jenazah anak itu selama dua minggu. Sepatutnya tak perlu disimpan sebab anak itu dah tiada (meninggal dunia),” tambahnya.
Ahmad Zaharil turut menegaskan bahawa jumlah bil hospital tidaklah mencecah puluhan ribu ringgit, dan jika isu ini diberitahu lebih awal, pasti ramai yang bersedia menghulurkan bantuan.
“Kejamnya manusia, sepatutnya berilah bayi itu dikebumikan dulu. Kalau korang ada jumpa, suruh dan bawa mak bapa arwah datang jumpa aku, dan mari aku saman pihak hospital. Aku mesti akan lawan,” ujarnya lagi.
Dalam satu hantaran, Mr Wan Cai menitipkan ucapan terima kasih kepada Ahmad Zaharil atas kesudiannya membantu keluarga mangsa untuk mendapatkan keadilan.
Perkongsian itu mendapat perhatian meluas warganet yang meluahkan rasa simpati terhadap keluarga bayi malang tersebut.
Ramai berharap agar tindakan sewajarnya diambil terhadap hospital berkenaan dan keadilan untuk keluarga Muhammad Adham Mikail dapat ditegakkan.