Ikuti Kami:

Kisah Tragedi Bayi Adham Mikail: “Kau Dah Lahirkan Anak Cacat, Kau Tak Reti Nak Uruskan Jenazah Anak Kau Ke?”

Kisah Tragedi Bayi Adham Mikail: “Kau Dah Lahirkan Anak Cacat, Kau Tak Reti Nak Uruskan Jenazah Anak Kau Ke?”

Kisah bayi syurga, Muhammad Adham Mikail, yang meninggal dunia selepas dilahirkan dengan kecacatan, mendapat perhatian ramai selepas tular di media sosial.

Apa yang lebih mengejutkan adalah kenyataan dan penghinaan yang diterima oleh ibu bapa bayi tersebut, terutama dari pihak hospital yang seharusnya memberi sokongan.

Menurut perkongsian oleh bapa kepada bayi tersebut di Facebook, beliau menceritakan pengalamannya yang penuh emosi semasa proses kelahiran dan pengurusan jenazah.

“Pada hari ketiga isteri saya ditahan di hospital, doktor yang merupakan pemilik hospital datang berjumpa isteri saya dan dengan kasar berkata, ‘Kau dah lahirkan anak cacat, kau tak reti nak uruskan jenazah anak kau ke?’” kata beliau, yang amat terkesan dengan kata-kata itu.

Bapa bayi tersebut juga menyatakan bahawa sepanjang dua minggu selepas kelahiran, bukan hanya kewangan yang menjadi masalah, tetapi layanan yang diterima oleh isterinya di hospital turut mencetuskan kesulitan.

“Luka jahitan isteri saya pun tak pernah diperiksa dengan betul. Ada kalanya tekanan darahnya tidak diperiksa, ada hari langsung tidak diperiksa. Saya sebagai suami rasa sangat kecewa dengan layanan sebegini.”

Bapa bayi tersebut menceritakan usaha gigihnya untuk mengumpul wang dengan menghubungi kenalan dan ahli keluarga setiap hari, namun hanya sedikit yang dapat membantu

“Saya dah cuba segala-galanya untuk mengumpul duit, telefon kenalan dan ahli keluarga setiap hari, tapi tak ramai yang dapat membantu. Akhirnya, pada hari Isnin, seorang pesakit lain tampil untuk membantu membayar bil hospital.” katanya.

Kejadian ini menimbulkan persoalan tentang etika dan empati dalam sektor kesihatan.

“Kenapa hospital sanggup menahan jenazah bayi yang baru meninggal selama dua minggu hanya kerana masalah kewangan? Tidakkah sepatutnya pihak hospital lebih prihatin dengan keadaan ibu dan anak yang sudah cukup tertekan?” ujar bapa bayi tersebut.

Di samping itu, pengasas NGO Unit Khas Van Jenazah, Mr. Wan Cai, turut menyuarakan rasa kecewa beliau terhadap tindakan hospital.

“Tiada alasan mahupun perkara yang boleh diguna pakai untuk melambatkan proses pengurusan jenazah melainkan hanya darurat. Tindakan menahan jenazah bayi adalah satu tindakan yang kejam dan tidak berperikemanusiaan.”

Kisah ini bukan sahaja mengundang simpati, tetapi juga membuka perdebatan hangat dalam kalangan netizen mengenai tanggungjawab dan empati yang seharusnya ada dalam pengurusan hospital terhadap pesakit dan keluarga mereka, terutamanya dalam situasi yang sangat emosional seperti ini.

Komen
Loading...