
Kolaborasi lagu Kisah Penuh Kecewa nyanyian Ernie Zakri dari Malaysia dan Anggi Marito dari Indonesia menjadi simbol penyatuan emosi dan bakat dua negara serumpun yang berkongsi bahasa dan budaya muzik yang sama.
Lagu balada penuh perasaan ini bukan sekadar mengisahkan tentang cinta yang tidak kesampaian, tetapi juga membuktikan bahawa muzik mampu merentasi sempadan dan menyatukan jiwa-jiwa yang memahami rasa.
Dalam sidang media baru-baru ini, kedua-dua penyanyi berkongsi pengalaman mencipta dan menyampaikan lagu ini secara bersama buat pertama kalinya.
Lagu ini telah dilancarkan secara rasmi pada 23 Mei lalu dan mendapat sambutan hangat daripada peminat di Malaysia dan Indonesia.
Menurut Ernie Zakri, pemenang Vokal Terbaik Anugerah Juara Lagu ke-39, lagu tersebut menceritakan tentang perpisahan yang berlaku walaupun masih ada rasa cinta. Namun dalam duka, ada kekuatan untuk terus melangkah.
“Lagu ini menggambarkan cinta yang tak jadi kenyataan, bukan sebab tiada rasa, tetapi kerana salah seorang memilih untuk tidak teruskan. Tapi di sebalik itu, ada kekuatan untuk bangkit. Saya yakin ramai pendengar dari kedua-dua negara boleh rasa mesejnya,” katanya.
Bagi Anggi Marito, yang merupakan finalis tempat ketiga Indonesian Idol musim ke-11, kerjasama ini satu penghormatan besar kerana beliau telah lama mengagumi Ernie sebagai artis yang berpengaruh dan berjiwa besar.
“Ernie sangat saya hormati. Dia bukan hanya ada suara yang kuat, tetapi juga pandai sampaikan emosi. Saya sangat terharu dapat berduet dengannya, dan saya harap peminat di Indonesia dan Malaysia boleh terima lagu ini dengan hati terbuka,” kata Anggi.
Lagu Kisah Penuh Kecewa turut dipersembahkan secara langsung buat pertama kali di Aura: Ernie Zakri Live in Concert pada 31 Mei di Singapura.
Persembahan itu menjadi momen istimewa yang menandakan kerjasama rasmi dua penyanyi hebat dari rantau yang sama.
Usai sidang media, Ernie dan Anggi turut meraikan peminat dalam sesi makan malam eksklusif di restoran Hameediyah, Bukit Bintang. Acara itu memberi peluang kepada peminat dari Malaysia untuk lebih dekat dengan artis kesayangan mereka dalam suasana santai dan mesra.