Ikuti Kami:

“Kisah Hidupku” Single Kedua Putera Bobo Angkat Suara Anak Kampung

“Kisah Hidupku” Single Kedua Putera Bobo Angkat Suara Anak Kampung

Putera Bobo, penyanyi muda berusia 14 tahun, kembali dengan single kedua berjudul “Kisah Hidupku”, sebuah karya yang mengangkat suara golongan anak kampung dan realiti kehidupan masyarakat berpendapatan rendah.

Kejayaan single sulungnya, “Korban Rindu”, yang mencecah lebih 1 juta tontonan di saluran YouTube rasmi Nova Music Malaysia, membuka jalan untuk peminat menantikan karya terbaharu penyanyi berbakat besar ini.

Elyani Queen, pencipta lagu dan ibu kepada Putera Bobo, berkata karya itu sudah lama dihasilkan, termasuk lirik rangkap pertama yang sebelum ini pernah diperdengarkan di media sosial sejak lima bulan lalu.

“Lagu ini saya buat separuh dulu. Bila abang Eddie Hamid dengar, dia minta saya teruskan kerana katanya melodinya sedap. Dari situ kami siapkan bersama-sama hingga menjadi sebuah lagu penuh,” jelasnya.

Menurut Elyani, penghasilan lagu dalam dialek Kelantan itu memang dekat dengan kehidupan masyarakat.

“Saya buat kisah yang ramai orang lalui. Ramai anak-anak pergi sekolah dalam keadaan lapar, ramai keluarga susah. Jadi kami sampaikan mesej ini melalui nyanyian Putera,” katanya yang menetap di Jerteh, Terengganu.

Rakaman lagu berlangsung pada pertengahan Oktober lalu di Studio SSR dan disiapkan dalam tempoh singkat kerana Putera Bobo sudah biasa dengan lagu tersebut.

Eddie Hamid, komposer dan penerbit yang mengetengahkan bakat Putera Bobo, berkata beliau tertarik sebaik mendengar rangkap awal yang diberikan oleh Elyani.

“Walaupun hanya serangkap, melodi dan liriknya menyentuh hati. Sebab itu saya setuju merakamkannya sebagai single kedua. Tiada masalah lagu ini dalam dialek Kelantan, yang penting mesejnya sampai,” katanya.

Video muzik “Kisah Hidupku” turut dirakam di kawasan kampung kediaman keluarga Putera Bobo, menggambarkan suasana sebenar kehidupan yang menjadi inspirasi lagu tersebut.

“Kisah Hidupku” ciptaan Elyani Queen dan Eddie Hamid, dengan lirik oleh Elyani, Zaza dan Rumie, diterbitkan oleh Kijang Music dan diedarkan oleh Nova Music Malaysia.

Kini boleh didengar di semua penstriman muzik utama, manakala video muzik rasmi boleh ditonton di saluran YouTube Nova Music Videos.

Komen
Loading...