Kisah Cinta Diraja: Tengku Natasya Pilihan Hati Tengku Muhammad Iskandar, Istiadat Oktober Ini
- oleh Mohd Indera
- 4 minggu lalu
Istiadat perkahwinan antara Tengku Arif Bendahara, Tengku Muhammad Iskandar, anakanda Sultan Pahang, dengan Tengku Natasya Puteri Tengku Adnan akan diadakan pada 24, 25, dan 27 Oktober ini.
Pengumuman rasmi mengenai majlis perkahwinan diraja ini dikongsi di laman Facebook Kesultanan Pahang pada Isnin, membawa khabar gembira kepada rakyat dan peminat diraja.
Majlis itu bakal diadakan di Istana Abdulaziz, Kuantan, Pahang, dengan persiapan sedang giat dijalankan bagi memastikan istiadat bersejarah tersebut berlangsung dengan sempurna dan lancar.
Sebagai pembuka tirai, Al-Sultan Abdullah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, telah berangkat ke Majlis Adat Midodareni atau Majlis Suai Kenal di Taman Duta, Kuala Lumpur, pada Ahad, 6 Oktober.
Majlis tersebut turut diserikan dengan upacara Majlis Siraman yang dilangsungkan pada hari yang sama, tanda penghormatan kepada adat resam perkahwinan diraja.
Di samping itu, Tengku Natasya juga sempat mengadakan Majlis Khatam Al-Quran sebagai sebahagian daripada persiapan perkahwinannya. Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, bersama beberapa kerabat diraja yang lain.
Berikut adalah latar belakang pasangan mempelai diraja yang bakal melangsungkan istiadat perkahwinan di Istana Abdulaziz:
Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah
Tengku Muhammad Iskandar dilahirkan pada 3 Ogos 1997 di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang.
Baginda merupakan anak ketiga daripada sembilan adik-beradik dan berada di kedudukan kedua sebagai pewaris takhta negeri Pahang selepas Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, Tengku Mahkota Pahang.
Selisih usia antara mereka hanya dua tahun, dan Tengku Muhammad dikenali dengan kecemerlangan dalam sukan seperti bola sepak, polo, dan golf.
Tengku Natasya Puteri Tengku Adnan
Tengku Natasya Adnan ialah anak kepada bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Dilahirkan pada tahun 1995, beliau mempunyai darah campuran Melayu dan Indonesia.
Tengku Natasya adalah anak sulung daripada lima beradik, iaitu Tengku Iqbal, Tengku Hafiz, Tengku Najwa, dan Tengku Nabila.
Ibunya, Datin Seri Utama Enny Beatrice Ferlat Kusumo Anggraini, merupakan bekas pelakon terkenal Indonesia yang meraih populariti besar dalam industri perfileman Indonesia pada era 1980-an.