Bintang terkenal Korea Selatan, Kim Jae Joong, bakal mengadakan konsert peminat (fan-con) solo pertamanya di Singapura pada 28 Mac depan.
Konsert yang bertemakan “2026 KIM JAE JOONG J-Party Asia Tour Fan Concert: GALAXY 1986” itu akan berlangsung di Arena @ EXPO bermula jam 7.30 malam.
Menurut kenyataan penganjur, Sliding Doors Entertainment, pemilihan konsep “GALAXY 1986” adalah bersempena dengan tahun kelahiran penyanyi itu, selain melambangkan perjalanan seninya selama 23 tahun serta hubungan akrab bersama peminat.
“Menerusi konsert ini, peminat boleh menjangkakan senarai lagu pilihan yang merangkumi karya popular sepanjang kerjayanya selain sesi interaksi khas seperti Sound Check dan Hi-Bye,” kata kenyataan itu hari ini.

Kim Jae Joong, yang memulakan kerjaya seninya pada tahun 2003, dikenali sebagai artis serba boleh dalam genre pop dan rock, serta aktif dalam bidang lakonan drama dan filem di Korea Selatan.
Tiket bagi konsert berkenaan dijual pada harga antara SGD128 sehingga SGD278 (tidak termasuk yuran tempahan).
Jualan pra-tiket akan bermula pada 21 Januari ini pada jam 12 tengah hari melalui platform DAMAI dan MAISEAT, manakala jualan umum pula akan dibuka pada 22 Januari menerusi semua saluran SISTIC.
Untuk maklumat lanjut mengenai konsert dan manfaat peminat, orang ramai boleh melayari laman media sosial rasmi Sliding Doors Entertainment.




