Killa Driz Kembali dengan ‘Cuci Mata’, Inspirasi dari Gurauan Spontan
- oleh Mohd Indera
- 4 minggu lalu
Selepas kejayaan single sulungnya, Rap$tar, di bawah naungan Def Jam Asia Tenggara, Killa Driz kembali mencuri perhatian peminat hip hop Malaysia dengan single terbaharunya, Cuci Mata.
Uniknya, lagu ini dihasilkan daripada sebuah gurauan spontan yang kemudiannya menjadi inspirasi untuk tema dan liriknya.
“Lagu ini terhasil secara gurauan sewaktu berbual dengan seorang rakan wanita. Ketika itu, saya sedar bahawa perempuan juga suka ‘cuci mata’, sama seperti lelaki,” jelas Killa Driz.
Gurauan itu mencetuskan idea untuk sebuah lagu yang ringan dan ceria, tetapi masih relevan untuk pendengar pelbagai usia.
Proses kreatif Cuci Mata berlangsung dengan pantas dan tanpa tekanan. Killa Driz menjelaskan bahawa melodi lagu ini sebenarnya sudah lama ada dalam fikirannya.
“Saya hanya perlu freestyle dan gabungkan elemen yang sesuai untuk jadikannya sebuah cerita. Lagu ini memberi ruang untuk saya lebih mengenali diri sendiri,” ujarnya.
Bagi melengkapkan karya ini, sebuah muzik video yang berkelas tinggi turut dihasilkan. Dirakam di Hotel Majestic Kuala Lumpur, video muzik ini menampilkan sisi elegan Killa Driz, yang terinspirasi oleh watak-watak ikonik seperti James Bond dan Bruce Wayne.
“Pengarah muzik video, Irfan, memahami visi saya dan berjaya menonjolkan sisi ‘classy’ yang sesuai dengan tema lagu ini,” katanya.
Killa Driz juga tidak menyembunyikan rasa terujanya untuk tahun 2025, di mana dia merancang untuk melancarkan lebih banyak lagu dan akhirnya album sulungnya.
“Saya ada lebih 50 lagu dalam simpanan yang menanti masa untuk dikeluarkan. Dengan sokongan Joe Flizzow, SonaOne, dan Alyph, saya yakin 2025 akan jadi tahun yang besar buat saya,” tambahnya lagi.
Cuci Mata kini boleh dinikmati di platform digital seperti Spotify, Apple Music, dan YouTube Music sejak 29 November 2024.