Ikuti Kami:

Killa Driz Bergabung dengan Joe Flizzow dan SonaOne dalam ‘Last Time’

Killa Driz Bergabung dengan Joe Flizzow dan SonaOne dalam ‘Last Time’

Penyanyi rap muda yang semakin meningkat naik, Killa Driz melakar sejarah peribadi apabila bergabung tenaga dengan dua figura penting industri muzik tanah air, Joe Flizzow dan SonaOne, untuk menghasilkan single terbaharu berjudul Last Time.

Lagu tersebut bukan sahaja menjadi medium kolaborasi antara generasi, malah turut membuka ruang pembelajaran dan perkongsian pengalaman buat Killa Driz yang bernaung di bawah label antarabangsa Def Jam SEA.

Menurut Killa Driz, Last Time pada asalnya bukan dicipta untuknya, namun telah dihadiahkan oleh Joe Flizzow yang dianggapnya sebagai mentor dan sumber inspirasi selepas melihat potensi besar yang dimilikinya.

“Saya amat terharu apabila Joe menghadiahkan lagu ini kepada saya. Ia satu peluang yang sangat berharga, dan saya menyambutnya dengan penuh semangat kerana saya tahu hasil kerja beliau dan SonaOne sentiasa berkualiti tinggi,” katanya.

Killa Driz menambah, proses penghasilan lagu itu disifatkannya sebagai organik dan penuh makna. Beliau dihubungi secara langsung oleh SonaOne dan diajak ke pejabat Joe Flizzow, di mana trek beat lagu tersebut telah pun siap sedia untuk dirakamkan.

“Kami menulis lirik bersama dan saya melengkapkan bahagian rap. Lagu ini benar-benar memberi saya peluang untuk belajar secara langsung daripada dua ikon hip hop negara,” jelasnya.

Last Time membawa tema perbandingan antara masa lalu dan masa kini, menggambarkan proses pendewasaan serta penemuan identiti diri.

Lagu itu juga melalui beberapa fasa penyuntingan kreatif, namun bahagian vokal asal milik Killa Driz tetap dikekalkan kerana dianggap paling jujur dalam penyampaian.

SonaOne pula memikul tanggungjawab sebagai komposer, penyusun muzik dan penerbit lagu. Dalam masa sama, beliau turut menerajui pembikinan muzik video (MV) yang menampilkan konsep klasik berunsur fesyen dari pelbagai era.

“Kami kekalkan elemen visual minimalis berlatarkan dinding putih, seolah-olah mengimbau zaman TV hitam putih. Ia memberikan sentuhan klasik yang kami rasa sesuai dengan naratif lagu,” ujar SonaOne.

Last Time boleh distrim di semua platform digital sejak 28 Februari lalu, manakala muzik videonya boleh ditonton melalui saluran YouTube rasmi Killa Driz.

Selepas kejayaan lagu-lagu terdahulu seperti RAP$TAR dan Cuci Mata, Killa Driz terus menunjukkan kematangan dalam penulisan dan penyampaian muzik, serta berazam untuk memperkukuh jenama peribadinya di pentas tempatan dan antarabangsa.

“Album pertama saya dijangka dilancarkan tahun ini di bawah Def Jam SEA. Saya ingin terus mencabar diri dan menyumbang sesuatu yang bermakna kepada industri muzik,” katanya.

Komen
Loading...