Ikuti Kami:

KIIYAS Pertaruh ‘Niskala’, Beri Bayangan EP Sulung ‘Rantai’

KIIYAS Pertaruh ‘Niskala’, Beri Bayangan EP Sulung ‘Rantai’

Selepas sekian lama mengumpul material, kumpulan rock bebas, KIIYAS, kini kembali memeriahkan persada muzik tanah air menerusi single terbaharu mereka berjudul Niskala (Diperdaya Psikedelik Cinta).

Karya yang sarat dengan mesej mendalam ini bukan sekadar sebuah naskhah cinta biasa, sebaliknya ia menyelami sisi gelap realiti sosial berkaitan ketagihan dadah sintetik dan perjuangan jiwa yang jarang diketengahkan dalam lirik lagu rock arus perdana.

Menurut wakil kumpulan itu, Niskala mengangkat naratif tentang kecekalan seorang suami yang setia mempertahankan kasih sayangnya terhadap isteri yang terperangkap dalam jerat ketagihan.

“Kami mahu menyampaikan bahawa cinta bukan sekadar euforia semata-mata, tetapi ia adalah tentang pengorbanan dan kesetiaan yang utuh, biarpun ketika pasangan berada dalam fasa paling gelap dalam hidup mereka,” jelas KIIYAS dalam satu kenyataan.

Lagu ini merupakan hasil ciptaan KIIYAS secara kolektif, manakala liriknya mendapat sentuhan kreatif daripada Amir HS.

Menambahkan lagi kredibiliti kemunculan semula mereka, KIIYAS kini menjalin kerjasama strategik dengan syarikat rakaman tersohor, Luncai Emas Sdn Bhd, milik Maestro tersohor, Datuk M. Nasir.

Menerusi edaran digital di bawah label berpengalaman itu, KIIYAS optimis karya mereka mampu menembusi pasaran yang lebih luas, termasuk luar negara.

“Kami percaya dengan rangkaian luas yang dimiliki Luncai Emas. Ini adalah pemangkin penting untuk memastikan muzik kami sampai ke telinga pendengar dengan lebih efektif,” ujar mereka lagi.

Pelancaran Niskala juga dilihat sebagai ‘pembuka selera’ sebelum kumpulan yang dianggotai oleh Abel (vokal), Yeus (bass), Ijaz (gitar), Amir HS (gitar), dan Nasrul (dram) ini melancarkan EP sulung mereka tidak lama lagi.

Diberi judul ‘Rantai’, EP berkenaan dijangka akan menghimpunkan beberapa buah lagu yang menyentuh pelbagai tema kehidupan termasuk nilai persahabatan, sindiran politik, dan realiti cabaran zaman moden.

KIIYAS yang mula aktif sepenuhnya sejak 2021 berharap kehadiran mereka dapat memperkukuhkan lagi genre rock tempatan dengan acuan identiti mereka yang tersendiri.

Niskala (Diperdaya Psikedelik Cinta) kini boleh didengari di semua platform penstriman digital seperti Spotify, manakala video audio rasmi boleh ditonton di saluran YouTube KIIYAS.