Ikuti Kami:

KHUP4 Jadi Platform Ilmu dan Pilihan Pakej Haji kepada Masyarakat

KHUP4 Jadi Platform Ilmu dan Pilihan Pakej Haji kepada Masyarakat

Lembaga Tabung Haji (TH) dengan kerjasama Bumitra Malaysia akan menganjurkan Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan ke-4 (KHUP4) bermula 28 hingga 30 November 2025 di Movenpick Hotel & Convention Centre (MHCC), Sepang.

Menurut Ketua Jabatan Haji TH, Tuan Haji Mohd Hisham Harun, KHUP4 bukan sekadar pameran, tetapi merupakan platform ilmu, pengalaman dan komuniti haji, umrah serta pelancongan.

“Karnival ini membolehkan orang ramai bertemu dan berhubung secara langsung dengan syarikat Pengelola Jemaah Haji (PJH) di bawah satu bumbung untuk mendapatkan maklumat tepat, telus dan terkini sebelum membuat pilihan pakej haji masing-masing,” jelas beliau.

Beliau memaklumkan bahawa lesen PJH bagi musim haji 1447H telah diluluskan kepada tiga agensi baharu, menjadikan jumlah keseluruhan 34 PJH berlesen.

“KHUP4 juga berperanan sebagai pusat tunjuk ajar kepada masyarakat mengenai haji, umrah dan pelancongan patuh syariah serta sebagai wadah pendidikan berkaitan penipuan atau skim haji yang masih berlaku di luar sana,” tambahnya.

Antara aktiviti menarik di KHUP4 termasuk program bual bicara dan podcast TH, membincangkan topik kesihatan, persediaan jemaah haji serta panduan penting sebelum dan semasa menunaikan ibadah haji.

Terdapat juga simulasi haji cilik, pertandingan mewarna kanak-kanak, persembahan khas Raihan, Inteam dan Mawi, penampilan istimewa Omar & Hana, kuiz interaktif, cabutan bertuah, serta bazar karnival menjual pelbagai makanan, minuman, pakaian haji dan umrah, serta barangan lain.

Beliau menegaskan, matlamat perkhidmatan PJH yang dikawal TH adalah untuk memberi pilihan pakej mengikut kemampuan bakal haji, menyediakan perkhidmatan bernilai tambah memudahkan urusan jemaah di tanah suci, serta membuka peluang kepada agensi Bumiputera Muslim sebagai pengelola jemaah haji.

Tuan Haji Mohd Hisham turut menekankan bahawa surat tawaran haji 1447H dikeluarkan secara berperingkat sejak 24 Oktober lalu, dan bakal haji perlu menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum menjawab surat tawaran.

Beliau menyeru semua 34 syarikat PJH memanfaatkan KHUP4 untuk memperkenalkan pakej masing-masing secara proaktif, menyediakan maklumat jelas, serta membantu bakal haji membuat pilihan bijak.

“Semoga usaha bersama ini memperkukuh ekosistem haji negara dan membantu para jemaah menunaikan haji yang mabrur, insya-Allah,” kata beliau.

TH juga memaklumkan bahawa pemantauan terhadap kemudahan dan harga pakej haji oleh PJH akan terus dijalankan melalui Bahagian Agensi Haji TH, diketuai Tuan Haji Anwar Ahmad, bagi memastikan pengalaman menunaikan haji berjalan lancar dan selesa.

Terdapat pelbagai tawaran pakej menarik termasuk pakej ekonomi di bawah RM55,000 seorang, selain pakej umrah dan pelancongan lain. Orang ramai boleh merujuk e-Brosur Pakej Haji 1447H/2026M melalui laman rasmi www.tabunghaji.gov.my

Komen
Loading...