Ikuti Kami:

Khadijah Ibrahim, Salamiah Hassan Terajui Konsert Tribut Sharifah Aini di DFP

Khadijah Ibrahim, Salamiah Hassan Terajui Konsert Tribut Sharifah Aini di DFP

Gabungan vokal dua legenda tersohor negara, Dato’ Khadijah Ibrahim dan Salamiah Hassan bakal menyemarakkan pentas Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP) menerusi konsert A Tribute to Sharifah Aini bagi mengenang legasi seni tiada galang ganti Biduanita Negara itu pada 6 Jun depan.

Konsert anjuran Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) itu dijadualkan berlangsung pada jam 8.00 malam, sebagai tanda penghormatan buat “Anak Emas EMI” yang meskipun sudah 12 tahun meninggalkan kita, pengaruh dan kualiti vokalnya terus segar dalam ingatan peminat seni tanah air.

Bagi Dato’ Khadijah Ibrahim, konsert ini merupakan pelunasan janji terhadap satu impian yang sekian lama tertangguh antara beliau dan Allahyarhamah Datuk Sharifah Aini.

“Ia adalah konsert yang sangat saya nantikan kerana dulu kami ade perancangan untuk konsert bersama, namun atas sebab-sebab tertentu, hasrat kami untuk mengadakan konsert bersama tidak kesampaian ketika itu.

“Jadi, apabila peluang ini datang, saya menjadi orang pertama yang menyertainya. Dia bukan sekadar rakan seperjuangan, malah sudah saya anggap seperti adik selamanya, selain merupakan sahabat baik kepada abang saya, Allahyarham Latif Ibrahim,” katanya pada majlis pengumuman konsert tersebut baru-baru ini.

Sementara itu, konduktor berwibawa, Ahmad Muriz Che Rose yang akan memimpin persembahan itu menyifatkan Sharifah Aini sebagai seorang prodigi dalam dunia muzik yang setanding dengan piawaian antarabangsa.

“Sejak kemunculan awalnya, beliau pantas mencipta impak besar. Dengan rekod merakamkan kira-kira 700 buah lagu, sudah tiba masanya karya agung beliau diangkat ke tahap lebih tinggi melalui interpretasi simfoni yang megah,” ujar Ahmad Muriz.

Konsert tersebut turut menampilkan barisan penyanyi berbakat, Asmidar dan Shiha Zikir, yang akan mempersembahkan rangkaian lagu malar segar seperti Hapuslah Airmatamu, Kudaku Lari, Kenang Daku Dalam Doamu, serta rangkaian medley tradisional.

Tiket bagi menyaksikan konsert bersejarah ini dijual pada harga bermula RM249 sehingga RM499 (Suite) dan boleh didapati melalui laman web rasmi www.mpo.com.my atau hubungi Box Office di talian 03-23317007.