Ikuti Kami:

Khadijah Ibrahim Galak Selebriti Kuasai Ilmu Bisnes

Khadijah Ibrahim Galak Selebriti Kuasai Ilmu Bisnes

Penyanyi legenda tanah air, Dato’ Khadijah Ibrahim, menggesa selebriti muda agar bukan sekadar memanfaatkan populariti, malah menguasai ilmu perniagaan bagi menjamin kelangsungan kerjaya dan masa depan.

Menurut Pengerusi Persatuan Karyawan Malaysia itu, dunia hiburan bersifat sementara dan boleh berubah pada bila-bila masa. Justeru, artis muda perlu menggunakan nama dan pengaruh mereka untuk membina jenama peribadi serta perniagaan yang kukuh.

“Ramai rakan artis yang kecundang apabila tidak lagi aktif di pentas hiburan. Bila nama tidak lagi disebut, tawaran kerja berkurangan, dan akhirnya hilang punca pendapatan. Inilah sebabnya artis muda perlu belajar selok-belok bisnes sejak awal,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Beliau menegaskan kepentingan memahami asas pengurusan perniagaan, termasuk pemasaran, operasi dan pengeluaran, bagi mengelakkan pihak lain mengambil kesempatan.

“Jangan sekadar jadi duta atau ‘nama’ produk. Turun padang, terlibat secara langsung dalam proses perniagaan. Kalau kita sendiri tak faham, orang lain mudah ambil kesempatan,” tegasnya.

Dato’ Khadijah turut berkongsi pengalamannya menubuhkan syarikat makanan sendiri dengan jenama Sos Cili Ibu, yang kini menembusi pasaran dalam dan luar negara.

Beliau memilih untuk menghasilkan produk makanan kerana yakin dengan minat rakyat Malaysia terhadap rasa pedas, selain memahami pasaran yang ingin dituju.

“Saya bermula dengan apa yang saya minat dan faham. Sos Cili Ibu adalah resipi asli buatan tempatan, dan Alhamdulillah kini semakin dikenali,” jelasnya.

Baru-baru ini, Dato’ Khadijah menyertai Malaysia Fest 2025 di Singapore Expo, Level 5, Selangor Hall, dari 31 Julai hingga 3 Ogos, bagi mempromosikan Sos Cili Ibu ke pasaran antarabangsa.

Acara itu turut disertai oleh nama besar industri hiburan seperti Dato’ Siti Nurhaliza, Ifa Raziah, Zaiton Sameon dan Jasmin Hamid, yang berjaya menarik ribuan pengunjung.

“Saya terharu dengan sambutan di Singapura. Ramai bukan sekadar membeli sos, tetapi juga datang untuk bergambar dan berkongsi kenangan zaman kegemilangan muzik saya,” katanya.

Dato’ Khadijah berharap lebih ramai selebriti akan memanfaatkan pengaruh dan pengetahuan mereka untuk membina legasi perniagaan yang memberi impak kepada masyarakat.

“Ilmu bisnes ini bukan saja untuk jana pendapatan, tetapi juga untuk buka peluang pekerjaan dan sumbang kepada ekonomi negara,” ujarnya.

Untuk maklumat lanjut berkenaan Sos Cili Ibu, boleh layari www.ibufood.com atau menghubungi talian +6017 689 4645.

Komen
Loading...