Ikuti Kami:

‘Khadam’ Satukan Malaysia–Indonesia Dalam Naskhah Seram Nusantara

‘Khadam’ Satukan Malaysia–Indonesia Dalam Naskhah Seram Nusantara

Filem seram terbaharu berjudul Khadam muncul sebagai projek berskala besar yang menggabungkan bakat seni dari Malaysia dan Indonesia melalui kerjasama produksi Red Communications dan Komet Productions.

Berlatarbelakangkan Malaysia era 1950-an, naskhah ini membariskan pelakon ternama tanah air Datuk Remy Ishak dan Siti Khadijah Halim, bersama bintang seram Indonesia, Aghniny Haque, yang sebelum ini mencuri perhatian menerusi filem pecah panggung KKN Desa Penari serta Pemandi Jenazah.

Lebih menarik, kolaborasi tersebut turut mendapat perhatian antarabangsa dengan penglibatan syarikat produksi Sil Metropole dari Hong Kong dan Applause Entertainment dari India.

Menurut penerbit bersama Komet Productions, Ahmad Izham Omar, Khadam bukan sekadar naskhah seram, sebaliknya membawa mesej lebih mendalam tentang pengorbanan seorang ibu, cabaran hidup dan mitos yang berakar dalam budaya Nusantara.

“Kerjasama dua negara serumpun ini bukan sahaja memperkukuh persahabatan budaya, malah membuka ruang pasaran lebih luas untuk filem seram Nusantara di rantau Asia Tenggara,” katanya.

Diarahkan oleh Shamyl Othman, pengarah Rahsia (2023), skrip Khadam ditulis oleh Fariza Azlina Isahak yang terkenal dengan karya Kami The Movie dan Songlap.

Filem ini mengisahkan Melor yang terpaksa mewarisi saka keluarga selepas kematian ibunya, sehingga membawanya ke ambang pertarungan emosi dan spiritual demi menyelamatkan anak perempuannya daripada belenggu entiti gelap.

Filem ini turut menampilkan pelakon kanak-kanak Zarra Zhaff dan Karl’El, selain Jun Lojong, yang dijangka menambah kekuatan emosi dalam jalan ceritanya.

Dengan sokongan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), penggambaran Khadam akan bermula pertengahan September 2025 dan dijadualkan tayangannya di pawagam seluruh negara serta pasaran serantau pada 2026.

Komen
Loading...