Khadam Rungkai Sisi Gelap Perjanjian Mistik, Gandingan Remy Ishak, Aghniny Haque
- oleh MDaily Editor
- 13 Apr 2026 9:47 pm
Industri perfileman tanah air kembali dihangatkan dengan naskhah seram terbaharu, Khadam, yang menjanjikan sebuah penceritaan dramatik mengenai kesan mendalam amalan saka dalam masyarakat Melayu.
Diterbitkan oleh Red Communications bersama Komet Productions, filem arahan Shamyl Othman ini bukan sekadar menyajikan elemen seram semata-mata, malah merungkai sisi gelap perjanjian mistik menerusi plot yang padat dan penuh emosi.
Penerbit Eksekutifnya, Lina Tan berkata, pihaknya menaruh keyakinan tinggi terhadap visi Shamyl serta skrip nukilan Fariza Azlina Isahak yang menyentuh tema “Jangan Sampai Jadi Tuan”.
“Kami percaya Shamyl mempunyai visi yang jelas untuk dunia Khadam. Fariza pula kembali dengan sebuah naskhah yang lebih berani dan penuh emosi, dengan perjalanan cerita yang tersusun serta perubahan konflik yang tidak dijangka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tarikan utama Khadam pastinya terletak pada gandingan sulung aktor berkaliber tempatan, Datuk Remy Ishak yang memegang watak sebagai Awang, bersama bintang sedang meningkat naik dari Indonesia, Aghniny Haque.

Aghniny, yang merupakan bekas atlet taekwondo nasional Indonesia dan pemenang Pelakon Wanita Terbaik di Indonesian Movie Actors Awards 2024, menggalas watak Melor, seorang wanita yang menyimpan rahsia besar di sebalik ketenangannya.
Mengulas mengenai pemilihan pelakon, Shamyl menegaskan bahawa kekuatan emosi menjadi tunjang utama naskhah ini.
“Kami mencari pelakon yang mampu membawa emosi yang jujur dan kompleks. Setiap watak memerlukan keseimbangan halus antara apa yang dilihat dan apa yang sebenarnya berlaku di dalam diri mereka,” jelasnya.
Walaupun mengangkat tema saka, Shamyl menjelaskan filem ini bertujuan menonjolkan akibat dan tanggungjawab yang datang bersama amalan tersebut, bukannya mempromosikannya.
“Dalam Khadam, saka digambarkan sebagai gangguan yang mengambil ruang dalam diri seseorang secara perlahan sehingga mereka hilang jati diri,” tambah beliau.
Teaser berdurasi 60 saat yang dilancarkan hari ini memperlihatkan kualiti visual sinematik yang memukau, memaparkan bagaimana sebuah keluarga yang harmoni perlahan-lahan runtuh apabila mula dikuasai entiti halus.
Selain Remy dan Aghniny, filem ini turut membariskan pelakon berbakat seperti Siti Khadijah Halim, Zarra Zhaf, Karl El, dan kemunculan istimewa Jun Lojong.
Khadam dijadualkan menemui penonton di pawagam seluruh negara tahun ini, edaran GSC Movies dengan kerjasama Primeworks Studios.
