Ketua Polis Johor Tidak Tunduk Ancaman Sindiket Penyeludupan PATI
- oleh Mohd Indera
- 4 tahuns lalu
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay tidak akan sesekali tunduk dengan ancaman yang diterima, malah akan terus memperhebatkan operasi bagi mengekang kegiatan penyeludupan masuk atau keluar PATI.
Bagaimanapun, Ayob Khan menyifatkan ancaman yang diterimanya itu adalah lumrah anggota penguat kuasa.
“Memang ada usaha untuk mengambil tindakan ke atas saya termasuk ancaman diberikan. Ada menerusi WhatsApp, mesej dan Facebook juga.
“Itu adalah lumrah. Apa yang penting kita berhati-hati dalam apa juga tindakan, kita berjaga-jaga dan yang selebihnya serah pada Allah. Selagi kita ikhlas berkhidmat, jangan takut. Kalau takut jangan jadi pegawai polis.
“Jadi guru, jadi wartawan pun ada yang terima ancaman. Itu biasa, jadi tuan-tuan jangan bimbang jangan takut,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini.
Sehingga kini, polis Johor sudah menahan lebih 20 pegawai dan anggota agensi penguat kuasa di negeri ini termasuk pegawai kanan polis, pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selain pegawai Jabatan Imigresen berikutan mereka bersengkongkol dengan rangkaian sindiket antarabangsa menyeludup PATI dan jenayah.
Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, kekerapan operasi bersepadu mengekang sindiket menyeludup PATI di Pantai Timur Johor kini menjadikan hampir 95 peratus kawasan itu kini bersih daripada kegiatan penyeludupan migran.
“Kita akan menumpukan pula usaha untuk melumpuhkan kegiatan sindiket imigran di Pantai Barat Johor pada masa ini, ” katanya.