KESS Anjur Malam Untukmu Gaza, The Helmis Jadi Duta Syiling Emas Khas
- oleh MDaily Editor
- 20 Oct 2025 5:59 pm
Kedai Emas Sri Semantan (KESS) mengukuhkan komitmen terhadap usaha kemanusiaan dengan menganjurkan program “Malam Untukmu Gaza”: Kilauan Semantan, Harapan Gaza pada Jumaat, 24 Oktober ini, bertempat di perkarangan Kedai Emas Sri Semantan Cawangan Jengka, Pahang, bermula jam 9 malam.
Program berkonsepkan solidariti dan kesedaran awam ini diadakan sempena pembukaan rasmi cawangan ketiga KESS dan bertujuan mengumpul dana bagi membantu rakyat Gaza yang terus berdepan penderitaan akibat kekejaman rejim Zionis.
Antara pengisian utama pada malam itu termasuk solat hajat, persembahan qasidah, ucapan wakil aktivis Sumud Nusantara Flotilla dan penyerahan sumbangan rasmi daripada Kedai Emas Sri Semantan kepada wakil NGO Cinta Salam Malaysia.

Majlis akan diserikan dengan kehadiran barisan artis terkenal seperti Raihan, Mawi, The Helmis (Heliza dan Hazwani Helmi) serta Dr Sam Rasputin, yang akan mempersembahkan lagu-lagu berunsur perjuangan dan ketabahan selain berkongsi pengalaman dalam misi kemanusiaan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kedai Emas Sri Semantan Sdn Bhd, Tn Mohd Hafizal Haji Mahmood, penganjuran program itu lahir daripada keinsafan terhadap penderitaan umat Islam di Gaza.
“Kita mungkin tidak mampu berada di medan perjuangan, tetapi sumbangan kecil daripada masyarakat amat besar maknanya buat mereka. Sempena pembukaan rasmi cawangan baharu ini, kami ingin menyatukan hati rakyat Malaysia melalui program Malam Untukmu Gaza,” katanya semasa sidang media di Saloma KL, hari ini.
Tambah beliau, KESS ingin membuktikan bahawa syarikat tempatan juga mampu memainkan peranan dalam mengangkat nilai kemanusiaan sejagat melalui pendekatan yang kreatif dan bermakna.
“Kita mahu jadikan program ini bukan sekadar majlis hiburan atau pelancaran produk, tetapi platform menyemai rasa cinta dan empati terhadap perjuangan rakyat Palestin. Ia satu cara untuk kita mengingatkan masyarakat bahawa kemakmuran dan keamanan yang kita nikmati hari ini datang dengan tanggungjawab membantu mereka yang tertindas,” jelasnya.

KESS turut memperkenalkan syiling emas khas edisi ‘Untukmu Gaza’ yang menampilkan The Helmis sebagai duta rasmi yang turut menyertai misi kemanusiaan Sumud Nusantara Flotilla tempohari.
“Sebahagian hasil jualan syiling emas ini akan disalurkan kepada rakyat Gaza melalui NGO Cinta Salam Malaysia. Wajah The Helmis akan diabadikan pada kad syiling emas ini sebagai simbol perjuangan dan semangat membantu saudara kita di sana,” ujar Hafizal.

Sementara itu, Heliza Helmi berkata beliau bersama Hazwani akan berkongsi pengalaman dan menyampaikan lagu baharu bertajuk Mengukir Takdir, ciptaan Hazwani dan komposer Wan Saleh, yang lahir ketika mereka menyertai misi Sumud Nusantara Flotilla.
“Insya-Allah, kami akan bercerita tentang perjalanan misi kemanusiaan dan semangat rakyat Palestin yang menjadi inspirasi kepada kami. Lagu Mengukir Takdir ini dirakamkan sebelum kami berangkat ke misi tersebut, dan kisah di sebaliknya benar-benar menyentuh hati kami,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Salam Malaysia, Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman, yang turut menyertai misi kemanusiaan Sumud Nusantara Flotilla, menzahirkan penghargaan kepada KESS atas penganjuran program tersebut.

“Saya antara yang menguruskan barisan artis seperti Ardell, Haroq, PU Rahmat dan Zizi dalam misi ini. Awalnya ia hanya misi biasa, namun strategi Tuan Nadir menjadikannya sesuatu yang besar. Bila artis-artis berkongsi kisah peribadi di kapal, ia mencetuskan empati luar biasa dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya.
Musa menegaskan bahawa kejayaan terbesar misi itu bukan pada penghantaran bantuan, tetapi kerana ia berjaya ‘break the silence’ dan menyentuh jutaan jiwa di seluruh dunia.
“Kini, apabila sebuah jenama seperti Kedai Emas Sri Semantan sendiri menganjurkan Malam Untukmu Gaza, ia bukti bahawa kesedaran itu sudah menyebar luas hingga ke akar masyarakat,” katanya.
Program “Malam Untukmu Gaza”: Kilauan Semantan, Harapan Gaza akan dirasmikan oleh YB Dato’ Sri Haji Syed Ibrahim bin Syed Ahmad, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang.




