Kes Saman Fitnah: Pasangan Nur Nilam & Azlan Komeng Peroleh Perintah Mahkamah Lindungi Reputasi
- oleh MDaily Editor
- 7 Nov 2025 12:17 pm
Pasangan pelakon dan usahawan, Nur Nilam Ortiz dan Azlan Komeng, memperoleh perintah injunksi inter partes daripada Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur terhadap individu dikenali sebagai Norsufiah, atau turut dikenali sebagai CP, berhubung kenyataan yang didakwa berunsur fitnah terhadap mereka di media sosial.
Melalui perintah tersebut, mahkamah melarang CP daripada mengeluarkan, menyiarkan atau menerbitkan sebarang kenyataan yang boleh dianggap berpotensi fitnah terhadap pasangan berkenaan, sementara menunggu penyelesaian penuh kes saman yang difailkan oleh pihak Nur Nilam dan Azlan.
Firma guaman Tetuan Kung, Yudhist, Anis, Rasyid Aziana & Co, yang mewakili pasangan itu, mengesahkan keputusan tersebut selepas mahkamah meneliti hujahan serta dokumen yang dikemukakan oleh kedua-dua pihak.

Menurut Nur Nilam, keputusan itu memberi kelegaan kepada mereka selepas berdepan tekanan akibat tuduhan tidak berasas di ruang awam.
“Saya anggap ini permulaan yang baik dalam perjuangan kami mencari kebenaran. Kami hanya mahu membersihkan nama dan meneruskan kehidupan dengan tenang. Semoga proses mahkamah berjalan lancar,” katanya.
Perintah injunksi tersebut dilihat sebagai langkah penting dalam memastikan semua pihak menghormati proses perundangan dan tidak menyalahgunakan media sosial untuk menyebarkan kenyataan yang boleh mencemar reputasi individu lain.
Kes saman fitnah itu dijangka disebut semula di mahkamah dalam tempoh terdekat bagi tindakan lanjut.
Terdahulu, Nur Nilam Ortiz dan Azlan Komeng telah memfailkan saman fitnah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap individu dikenali sebagai Cik Pia, atas dakwaan mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah serta provokatif di media sosial.




