Ikuti Kami:

Kerjasama Strategik SIRIM-Ensu Lifesciences Lonjak Inovasi Kosmetik Tempatan

Kerjasama Strategik SIRIM-Ensu Lifesciences Lonjak Inovasi Kosmetik Tempatan

SIRIM Berhad terus memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju inovasi teknologi dengan menjalin kerjasama strategik bersama Ensu Lifesciences Sdn Bhd (ELSB) menerusi Perjanjian Pelesenan Teknologi (TLA).

Perjanjian ini bukan sekadar pemindahan teknologi, malah menjadi pemangkin kepada pembangunan dan pengkomersialan produk kosmetik tempatan yang berasaskan sains serta teknologi canggih.

Kerjasama ini memberi tumpuan kepada pemindahan Teknologi Penjagaan Kulit Kawalan Jerawat & Cela yang telah dibangunkan oleh SIRIM.

Dengan keberkesanan dalam merawat jerawat dan mengurangkan pembentukan parut melalui sifat antioksidan yang tinggi, teknologi ini diharap dapat memberikan penyelesaian kosmetik yang lebih berkesan dan selamat kepada pengguna.

Melalui perjanjian ini, Ensu Lifesciences akan mengkomersialkan teknologi yang dilesenkan oleh SIRIM, membolehkan syarikat tempatan bersaing dengan jenama antarabangsa dalam sektor kosmetik dan penjagaan kulit.

Kerjasama ini bukan sahaja memberi nilai tambah kepada produk tempatan tetapi juga menggalakkan penggunaan bahan semula jadi seperti limau purut, kayu manis, dan enzim bromelain dalam formulasi penjagaan kulit.

Menurut Ketua Pegawai Teknologi Penyelidikan Industri SIRIM, Ir. Ts. Dr. Muhammad Izzal Ismail, kolaborasi ini membuktikan peranan penting SIRIM dalam menghubungkan penyelidikan dengan industri.

“Kami berbesar hati untuk bekerjasama dengan Ensu Lifesciences dalam membawa teknologi penjagaan kulit ini ke pasaran. Ia bukan sahaja mempercepatkan inovasi dalam industri kosmetik tempatan tetapi juga membuka peluang baharu kepada usahawan dan pemain industri untuk menghasilkan produk berkualiti tinggi dengan nilai saintifik yang kukuh,” katanya.

Sementara itu, Dr. Suhana @ Husin, Pengerusi Eksekutif Ensu Lifesciences, menegaskan bahawa perjanjian ini membolehkan syarikatnya memperkenalkan produk kosmetik yang lebih inovatif dan berdaya saing.

“Kami komited untuk menghasilkan produk kosmetik yang bukan sahaja selamat tetapi juga terbukti secara saintifik. Kerjasama dengan SIRIM ini akan mempercepatkan lagi usaha kami dalam membangunkan produk penjagaan kulit berkualiti tinggi yang mampu memenuhi keperluan pengguna moden,” jelasnya.

Perjanjian antara SIRIM dan Ensu Lifesciences ini selaras dengan aspirasi negara untuk menjadikan Malaysia sebagai hab inovasi kosmetik serantau.

Dengan adanya teknologi yang lebih maju dan sokongan daripada institusi penyelidikan seperti SIRIM, syarikat tempatan kini mempunyai kelebihan daya saing yang lebih besar dalam pasaran global.

Kerjasama ini juga menjadi contoh bagaimana perkongsian antara sektor penyelidikan dan industri dapat mempercepatkan pembangunan produk inovatif yang bukan sahaja memberi manfaat kepada syarikat tetapi juga pengguna yang mencari penyelesaian kosmetik berkualiti tinggi.

SIRIM Berhad adalah syarikat milik penuh Kerajaan Malaysia di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, yang menerajui penyelesaian teknologi dan kualiti dalam pelbagai sektor industri termasuk penyelidikan dan pembangunan teknologi, pensijilan, ujian, dan penentukuran.

Ensu Lifesciences Sdn Bhd adalah pengeluar OEM dalam sektor kecantikan dan kesihatan yang memiliki kemudahan pengilangan berstatus GMP, HACCP, dan Halal. Syarikat ini komited dalam membangunkan produk berasaskan bahan semula jadi dan saintifik bagi memenuhi permintaan pengguna tempatan dan antarabangsa.

Dengan termeterainya perjanjian ini, industri kosmetik tempatan dijangka akan berkembang pesat, membawa Malaysia ke tahap baharu dalam inovasi kecantikan yang berasaskan teknologi dan penyelidikan.

Komen
Loading...