Kerjasama Strategik Kruniverse dan Unity Trust Berhad, Lancar Projek RM50 Juta November Ini
- oleh Mohd Indera
- 12 Aug 2025 8:29 pm

Kumpulan Syarikat KRU, menerusi anak syarikatnya Kruniverse Sdn Bhd, memeterai kerjasama strategik dengan Unity Trust Berhad bagi melaksanakan projek hospitaliti dan gaya hidup bernilai RM50 juta di Lembah Klang, yang dijadual dilancarkan pada November ini.
Projek tersebut akan dibangunkan di Shah Alam dan Klang sebagai sebahagian daripada visi jangka panjang Kruniverse untuk menjadi peneraju serantau dalam industri pelancongan berteraskan hiburan dan teknologi.
Lokasi strategik dipilih bagi menarik pelancong domestik dan antarabangsa, sekali gus memberi impak positif kepada komuniti setempat.
Presiden Lembaga Pengarah Kruniverse, Y.M. Tengku Dato’ Dr. Hishammuddin Zaizi bin Y.A.M. Tengku Bendahara Azman Shah Alhaj, berkata kerjasama ini hadir pada masa yang tepat untuk mengembangkan penawaran syarikat.
“Sebagai cabang baharu Kumpulan Syarikat KRU, Kruniverse berada di masa dan tempat yang tepat untuk mengembangkan tawaran hospitaliti dan gaya hidup dengan memanfaatkan harta intelek KRU, teknologi berasaskan AI, serta status jenama besar,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif KRU Corp Sdn Bhd, Dato’ Norman Abdul Halim, pula berkata kolaborasi dengan Unity Trust Berhad menjadi pemangkin penting kepada pertumbuhan syarikat.
“Kerjasama dengan Unity Trust Berhad menandakan pencapaian penting dalam perjalanan kami untuk mengembangkan operasi sambil mengekalkan standard tadbir urus tertinggi. Matlamat kami bukan sahaja untuk meningkatkan pengalaman pengunjung, tetapi juga membina ekosistem mampan yang memperkasakan perniagaan dan komuniti tempatan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Unity Trust Berhad, Syed Sadiq Obaidi Albar Syed Hamid, menegaskan pihaknya komited memastikan projek ini dilaksanakan secara profesional dan telus.
“Kerjasama ini menyokong objektif Kruniverse untuk berkembang daripada sebuah perniagaan milik keluarga kepada sebuah organisasi mampan, berasaskan data, dan ditadbir secara profesional selaras dengan amalan terbaik untuk penyenaraian awam pada masa hadapan,” katanya.
Majlis sidang media khas diadakan di Putrajaya hari ini, dihadiri barisan pengurusan tertinggi kedua-dua pihak.
Pelancaran projek pada November 2025 ini dijangka menjadi titik permulaan kepada rangkaian pembangunan hospitaliti baharu Kruniverse, seterusnya memacu pertumbuhan sektor pelancongan dan gaya hidup di rantau ini.