Ikuti Kami:

‘Kerana Cinta Saya Kembali’ – Jubin Nautiyal Gegar Mega Star Arena Esok

‘Kerana Cinta Saya Kembali’ – Jubin Nautiyal Gegar Mega Star Arena Esok

Penyanyi popular India, Jubin Nautiyal, menyifatkan faktor utama beliau kembali ke Malaysia adalah kerana “cinta”, jawapan spontan ketika ditanya semasa sesi Media Meet yang diadakan sempena konsert “Jubin Nautiyal Live in Malaysia 2026” bakal berlangsung esok di Mega Star Arena KL.

Penyanyi yang terkenal dengan deretan lagu romantik itu mengakui terharu dengan sokongan peminat di Malaysia yang sentiasa menantikan kemunculannya sejak kunjungan terdahulu pada 2022.

Menurut Jubin, konsert kali ini bakal tampil lebih besar dan penuh istimewa dengan durasi hampir tiga jam serta membawakan pelbagai genre muzik untuk semua lapisan penonton.

“Penonton di Malaysia sangat hebat dan pelbagai. Saya terkejut melihat sambutan terhadap lagu-lagu Hindi di sini. Kali ini kami hadir dengan persembahan yang lebih besar dan sesuai untuk seisi keluarga,” katanya dalam sisi Media Meet yang diadakan di Spice Garden Express, di sini, hari ini.

Tambah penyanyi berusia 36 tahun itu, beliau dijangka mempersembahkan keseluruhan lagu beliau sepanjang konsert tersebut termasuk dalam bentuk medley khas.

Antara lagu yang bakal dipersembahkan ialah “Aakhri Ishq”, “Barbaad”, “Tum Hi Aana”, “Gazab Ka Hai Din” serta lagu terbaharunya “Mere Bhole Nath” yang kini mendapat sambutan hangat di India.

Selain lagu balada dan romantik yang menjadi identitinya, Jubin turut menjanjikan persembahan lebih bertenaga menerusi lagu rancak seperti “The Humma Song” dan “Dil Lutti Kudi Patola”.

“Saya mahu semua penonton bersedia dengan kasut tarian mereka kerana kita akan menari bersama esok,” katanya.

Beliau turut memberi bayangan untuk menyampaikan lagu India Selatan berjudul “Telusa Telusa” buat pertama kali secara langsung khas untuk peminat Malaysia.

Bagi peminat yang masih belum memiliki tiket, penganjur iGP Funky menawarkan harga diskaun istimewa sempena sambutan Hari Ibu bagi memberi peluang kepada peminat untuk meraikan hari istimewa tersebut bersama keluarga tersayang sambil menikmati alunan suara merdu Jubin.

Tiket masih boleh dibeli melalui laman web Ticket2u – https://www.ticket2u.com.my/event/48367/jubin-nautiyal-live-in-kuala-lumpur-2026