Ikuti Kami:

Kerajaan Nafi MySejahtera Dibangunkan Syarikat Asing

Kerajaan Nafi MySejahtera Dibangunkan Syarikat Asing

Kerajaan melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) menafikan aplikasi MySejahtera dibangunkan oleh syarikat asing.

Pembangun aplikasi MySejahtera adalah syarikat antarabangsa yang sebenarnya berasal dari Malaysia.

Penjelasan itu dibuat selepas Persatuan Usahawan dan Industri ICT Bumiputera Malaysia (NEF) mengadu mereka diketepikan oleh kerajaan berbanding syarikat asing yang diberi keutamaan.

“Syarikat KPISoft merupakan syarikat tempatan berstatus MSC (Koridor Raya Multimedia) yang mula ditubuhkan pada 2010. Pengasas kepada syarikat ini termasuk dua orang rakyat Malaysia iaitu Anuar Rozhan dan Raveenderan Ramamoothie.

“Mereka merupakan pemegang saham terbesar bagi syarikat tersebut sehingga hari ini,” kata MKN dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut MKN, dengan bimbingan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), syarikat itu melebarkan sayap ke peringkat antarabangsa pada 2014 dengan membuka ibu pejabat di rantau Asia-Pasifik, Amerika Syarikat, Timur Tengah, Eropah, Singapura dan India, dengan mempunyai pejabat operasi di 15 buah negara.

“Syarikat ini merupakan antara syarikat tempatan yang berjaya menempa dan memperkembangkan nama di peringkat global. Aplikasi yang dibangunkan oleh syarikat ini turut digunakan oleh syarikat-syarikat yang tersenarai sebagai Fortune 500.

“Meskipun syarikat ini telah berkembang di peringkat global, pengurusan utama KPISoft masih berpangkalan di Malaysia.

“Anuar merupakan ketua pegawai eksekutif bagi KPISoft Malaysia dan Asia Pasifik. Selain itu, ketua pegawai kewangan global dan ketua arkitek pembangunan aplikasi global adalah rakyat Malaysia dan melaksanakan operasi global di Malaysia,” katanya lagi.

MKN menambah, pada peringkat awal, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meminta Agensi Keselamatan Siber Negara (Nacsa), MKN dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) untuk menilai aplikasi yang dibangunkan oleh KPISoft Sdn Bhd secara tanggunjawab sosial korporat.

“Penilaian yang dilaksanakan oleh Nacsa, MKN dan Mampu mendapati bahawa aplikasi ini paling tersedia untuk dilaksanakan di peringkat nasional berbanding dengan mana-mana aplikasi yang ditawarkan kepada kerajaan pada masa tersebut dengan mengambil kira keperluan mendesak daripada KKM.

“Pembangunan aplikasi ini merupakan kerjasama strategik antara MKN, KKM, Mampu, SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) dan Mosti (Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi),” katanya.

Komen
Loading...