Ikuti Kami:

Kerajaan Hormati Keputusan Mahkamah Ke Atas Najib – Muhyiddin

Kerajaan Hormati Keputusan Mahkamah Ke Atas Najib – Muhyiddin

Kerajaan menghormati keputusan mahkamah dan menggesa semua pihak agar terus meletakkan kepercayaan kepada sistem perundangan serta kehakiman negara sebagai institusi yang bebas dan berkecuali.

Beri ruang kepada proses undang-undang agar keadilan dapat ditegakkan.

Demikian kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung keputusan mahkamah yang mensabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap semua tujuh pertuduhan melibatkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

“Saya memahami perasaan dan sentimen rakan-rakan terhadap keputusan yang telah dibuat oleh mahkamah.

“Namun begitu, saya ingin menegaskan bahawa Kerajaan Perikatan Nasional akan sentiasa menegakkan prinsip kedaulatan undang-undang, ” katanya di dalam satu kenyataan pada Selasa malam.

Muhyiddin berkata kerajaan juga menghormati hak Najib untuk merayu atas hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah.

“Sama-samalah kita beri ruang kepada proses undang-undang untuk memastikan keadilan dapat ditegakkan, ” katanya.

Mahkamah Tinggi semalam menjatuhkan hukuman penjara berjumlah 72 tahun dan denda RM210 juta terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selepas mendapati beliau bersalah atas tujuh pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT), pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan melibatkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Najib hanya perlu menjalani hukuman penjara selama 12 tahun setelah Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali memerintahkan hukuman penjara itu dilaksanakan serentak.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta sehingga rayuan diputuskan.

Foto : Bernama.

Komen
Loading...