Ikuti Kami:

Kerajaan Benarkan Pelajar IPT Pulang Bermula 27 April

Kerajaan Benarkan Pelajar IPT Pulang Bermula 27 April

PUTRAJAYA, 24 April — Pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta termasuk politeknik serta kolej komuniti yang masih berada di kampus akan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing bermula 27 April ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan hari ini memutuskan waktu perjalanan yang dibenarkan adalah dari 9.00 malam hingga 9.00 pagi bagi memastikan perjalanan terkawal.

“Pergerakan akan dilakukan secara berperingkat-peringkat dengan hanya melibatkan perjalanan ke zon hijau sahaja. Pelajar yang terlibat juga akan menjalani saringan gejala sebelum menaiki bas dan dibekalkan makanan serta topeng muka,” katanya pada sidang media harian di sini, hari ini.

Ismail Sabri, yang juga Menteri Pertahanan berkata, 53,000 pelajar atau 85 peratus pelajar IPT di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan terbabit dalam inisiatif itu manakala selebihnya memilih untuk kekal di kampus masing-masing.

“Yang tidak berminat untuk pulang, mungkin kerana mereka akan menduduki peperiksaan atau belajar secara dalam talian di kampus kerana di kampung akses internet terhad,” katanya sambil menambah kerajaan akan terus membekalkan makanan dan minuman untuk mereka.

Ismail Sabri berkata mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan KPT, setiap pelajar akan diambil dari kampus atau rumah sewa mereka dengan menggunakan bas dan dihantar terus ke balai polis atau pejabat daerah di kampung mereka.

“Mereka seterusnya akan dihantar ke rumah masing-masing oleh agensi-agensi kerajaan di peringkat daerah. Bermakna tiada ruang untuk mereka pergi ke tempat lain,” katanya.

Selain itu, katanya kapasiti penumpang akan dihadkan separuh daripada kapasiti sebenar bas bagi memastikan jarak sosial dipatuhi.

Bagi pelajar yang berhasrat untuk pulang ke Sabah atau Sarawak pula, Ismail Sabri berkata penerbangan pulang ke negeri masing-masing akan disediakan kerajaan dan diterbangkan ke lapangan terbang yang terdekat dengan kampung mereka.

“Seperti diputuskan Kerajaan Negeri Sarawak dan Sabah, mana-mana penumpang sekali pun dari Semenanjung Malaysia, mereka akan dikuarantin selama 14 hari. Termasuk pelajar-pelajar yang dihantar pulang, kecuali jika kerajaan negeri mereka menukar SOP yang ditetapkan itu,” katanya.

Ditanya mengenai nasib pelajar yang ingin pulang ke kawasan zon merah, Ismail Sabri berkata buat masa ini perkara itu tidak dibenarkan.

“Begitu juga jika pelajar itu sewa rumah luar kampus di kawasan zon merah, nak balik ke zon hijau, juga kita tak benarkan lagi pada peringkat awal.

Bagi pelajar IPT di bawah kawal selia kementerian lain seperti Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar, katanya proses penghantaran pulang juga perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan KPT.

— BERNAMA

Komen
Loading...