Ikuti Kami:

Kerajaan akan bela rakyat dalam sebarang situasi – Muhyiddin

Kerajaan akan bela rakyat dalam sebarang situasi – Muhyiddin

KUALA LUMPUR, 25 April — Kerajaan memberi jaminan akan membela rakyat dalam sebarang situasi sekalipun negara sedang berdepan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik COVID-19 ketika ini.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kebajikan rakyat sentiasa diutamakan dan pelbagai strategi telah diatur bagi memastikan tiada rakyat terpinggir dalam mendapatkan bantuan sewajarnya sewaktu tempoh tersebut.

“Langkah yang kita ambil ini akan memberi impak kepada memelihara kehidupan mereka supaya menjadi lebih sejahtera dan terjamin. Apa tujuan kerajaan, kalau bukan untuk membantu, membela rakyat… ini keadaan yang paling utama, dalam mana-mana kerajaan sekalipun.

“Dan usaha mesti dibuat secara bersungguh-sungguh supaya kesan daripada langkah yang kita ambil itu dapat bantu membaiki kehidupan mereka,” katanya dalam temu bual khas yang disiarkan di RTM, Astro Awani, TV3 dan Bernama TV malam ini.

Beliau berkata Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) yang diumumkan baru-baru ini tidak mengecualikan mana-mana kumpulan kategori kerana semua rakyat terjejas akibat COVID-19.

“Kalau dilihat dalam pakej rangsangan itu, jumlahnya besar, tetapi saya kira, tidak terkecuali…baik dalam golongan berpendapatan rendah (B40), perniagaan, individu ataupun kumpulan, mereka ada dapat bahagian daripada itu, kumpulan M40 pun ada di situ,” katanya.

Pada 27 Mac lepas, Muhyiddin mengumumkan PRIHATIN sebanyak RM250 bilion dengan matlamat melindungi rakyat, menyokong perniagaan dan memperkukuh ekonomi dalam menghadapi kesan pandemik COVID-19.

Selepas itu, Perdana Menteri mengumumkan pula pakej rangsangan ekonomi tambahan bernilai RM10 bilion bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Mengulas mengenai perancangan kerajaan dalam memastikan kebajikan rakyat selepas tamat tempoh PKP, Muhyiddin berkata kerajaan tidak akan membiarkan ekonomi negara runtuh bagi memastikan bantuan dapat disalurkan kepada rakyat.

“Kita tidak boleh biar keadaan itu runtuh kerana dengan sebab (adanya) kegiatan ekonomi, kerajaan memungut cukai, tetapi jika bisnes sudah rosak ataupun rugi, mana pendapatan kerajaan untuk membiayai segala bentuk keperluan rakyat,” tambahnya.

Perdana Menteri berkata kerajaan perlu berbuat sesuatu untuk menyokong usaha yang dilakukan oleh pihak industri dan perniagaan, selain memastikan rakyat yang telah diambil bekerja dalam semua sektor, baik yang kecil, sederhana atau yang besar, dapat mengekalkan pekerjaan mereka.

“Itu menjadi keutamaan saya, jangan ada yang dibuang kerja atau diberhentikan dan yang lain-lain lagi. Tapi maklumlah ini perniagaan, kalau mereka kata mereka tak mampu nak bertahan lama, apa pilihan mereka? Takkan mereka nak menampung pekerja yang sedia ada seperti biasa. Tak ada sumber wang yang boleh dibuat untuk membiayai kos perniagaan atau nak bayar gaji,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa antara langkah yang disediakan kerajaan dalam pakej rangsangan itu ialah membantu syarikat dan kilang melalui subsidi upah.

“Dengan cara itu sedikit sebanyak beban yang ditanggung majikan dapat dibantu dengan pemberian subsidi upah, itu satu contoh. Ataupun, menangguhkan moratorium kepada segala bentuk pinjaman pada bank,” katanya.

Muhyiddin berkata apa yang kerajaan sedang lakukan ialah untuk memastikan ekonomi terus maju walaupun dalam keadaan sukar ketika ini.

“Kita sudah pun mula sekarang untuk sedikit demi sedikit kita buka semula kegiatan ekonomi secara berfasa. Sampai ke satu tahap di mana kita fikir boleh kita anjakan ke satu perubahan yang lebih besar, itu akan kita lakukan dalam tempoh masa ke hadapan,” katanya.

— BERNAMA

Komen
Loading...