Ikuti Kami:

Keputusan AJL39 Berdasarkan Seni, Teknikal, dan Objektiviti – Edry Abdul Halim

Keputusan AJL39 Berdasarkan Seni, Teknikal, dan Objektiviti – Edry Abdul Halim

Ketua Juri Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39), Edry Abdul Halim, menegaskan bahawa penilaian juri malam itu dibuat berdasarkan keseimbangan antara seni, teknikal, dan objektiviti.

Malam penuh gemilang AJL39 sekali lagi membuktikan bahawa industri muzik tanah air terus berkembang dengan karya-karya hebat yang menjadi bualan ramai.

Menurut Edry, walaupun populariti lagu penting, ia bukan faktor utama dalam menentukan pemenang, memandangkan persaingan di kalangan finalis sangat sengit, terutamanya bagi merebut tempat lima teratas.

“Daripada 10 finalis, kedudukan top 5 sangat rapat. Dalam proses audit, jurangnya sangat kecil, terutama antara tempat ketiga, keempat, dan kelima yang hanya dipisahkan oleh satu mata. Namun, perbezaan markah tempat pertama dan kedua lebih jelas,” katanya.

Beliau turut menekankan pentingnya keputusan kolektif dalam kalangan sembilan juri yang bertanggungjawab memastikan setiap aspek seni dan teknikal dinilai dengan adil.

“Keputusan ini adalah hasil kolektif juri. Kita harus objektif dan tidak perlu mengubah apa-apa berdasarkan spekulasi luar. Walaupun penyampaian vokal mungkin dinilai secara subjektif, keseluruhan markah purata menunjukkan kekuatan pemenang yang jelas,” jelas Edry.

Edry turut memuji prestasi Marsha Milan yang menunjukkan kelebihan ketara dalam pelbagai aspek teknikal seperti susunan muzik dan lirik.

“Marsha mencatat skor tinggi dalam banyak kategori. Lagu Nadeera juga sangat baik dan popular, tetapi dari segi teknikal, Marsha memiliki kelebihan,” katanya.

Beliau menambah, tujuan utama AJL adalah untuk meraikan seni dan kreativiti dalam muzik, dengan penilaian yang adil dan telus.

“Populariti memang penting, tetapi kami menilai berdasarkan nilai seni dan teknikal untuk memastikan keputusan yang berkualiti dan adil,” tambahnya.

Persembahan 10 finalis AJL 39 dinilai oleh barisan juri profesional yang terdiri daripada Fauziah Latif, Datuk Fauziah Nawi, Datuk Hattan, Dato’ Ahmad Izham Omar, Ad Samad, LY, Edrie Hashim, Siti Hajar, dengan Edry Abdul Halim bertindak sebagai ketua juri.

AJL39 yang melabuhkan tirainya semalam telah menyaksikan Marsha Milan dinobatkan sebagai Juara AJL39 dengan lagu “Hening Rindu”.

Lagu yang dicipta oleh Ikhwan Fatanna & Wan Saleh, dengan lirik oleh Ikhwan Fatanna, berjaya memikat hati barisan juri dan membawanya pulang hadiah wang tunai RM100,000 bersama trofi.

Tempat kedua diraih oleh Nadeera Zaini dengan lagu “Bukan Lagi Kita”, yang turut memukau juri melalui persembahan mantap, dan membawa pulang RM50,000 serta trofi.

Tempat ketiga pula dimenangi oleh Akim & The Majistret menerusi lagu “Saksama”, yang berjaya membawa pulang RM30,000 beserta trofi.

Selain itu, Persembahan Terbaik diberikan kepada Aina Abdul dengan lagu “Puas Sudah”, yang membawa pulang RM12,000 serta trofi.

Anugerah Vokal Terbaik pula disandang oleh Ernie Zakri menerusi lagu “Aura”, yang turut menerima RM12,000 dan trofi.

Komen
Loading...