Kenny G ‘King of Saxophone’ Kembali ‘Tawan’ Arena of Stars 12 Julai Ini
- oleh MDaily Editor
- 11 May 2026 6:44 pm
Pemain saksofon lagenda dunia dan pemenang Anugerah Grammy, Kenny G, bakal kembali mengubati rindu peminat di Malaysia menerusi konsert jelajah dunianya yang dijadualkan berlangsung pada Julai depan.
Diberi jolokan “King of Saxophone”, pemuzik instrumental terlaris dalam sejarah itu akan membuat kemunculan istimewa di Arena of Stars, Resorts World Genting pada 12 Julai 2026 (Ahad), jam 6 petang menerusi siri “King of Saxophone” Kenny G 2026 World Tour in Malaysia.
Penganjur konsert, Everbeat Entertainment dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa persembahan tersebut akan membawakan elemen nostalgia dan kehebatan muzik jazz bertaraf dunia dalam satu produksi pentas yang elegan.
“Peminat boleh menjangkakan pengalaman persembahan secara langsung yang memukau, menampilkan melodi ikonik serta susunan muzik yang menyentuh perasaan.
“Apabila Kenny G tampil di pentas dengan melodi yang menyentuh jiwa, ia bakal mencipta suasana sempurna buat pasangan menikmati malam romantik selain diperkaya dengan seni muzik luar biasa,” menurut kenyataan itu.

Kenny G yang telah memikat pendengar selama lebih empat dekad terkenal dengan karya-karya malar hijau seperti “Songbird”, “Forever in Love” dan “Silhouette”. Beliau juga merupakan pemegang rekod dunia bagi nota berterusan paling panjang selama hampir 46 minit.
Sepanjang kariernya, beliau telah menjual lebih 75 juta album studio di seluruh dunia dan pernah bekerjasama dengan barisan artis ternama termasuk Celine Dion, Andrea Bocelli, Andy Lau, Kanye West dan terbaharu, Charlie Puth.
Persembahan di Malaysia ini dibawakan oleh Everbeat Entertainment dengan kerjasama CEOMAN Entertainment.
Bagi peminat yang tidak mahu melepaskan peluang keemasan ini, tiket boleh didapati pada harga RM668 (VIP), RM558 (PS1), RM458 (PS2), RM358 (PS3) dan RM258 (PS4).
Tempahan tiket boleh dibuat melalui laman web rasmi MAISEAT di (https://www.maiseat.com) dan juga melalui rwgenting.com.
