Kumpulan Indonesia, Samsons, sekali lagi memukau peminat Malaysia dalam konsert “Samsons Live in Malaysia: Kenangan Terindah” yang berlangsung di IDEA Live Arena, Damansara 3, semalam.
Samsons kini dianggotai oleh penyanyi Adrian Martadinata, gitaris Irfan Aulia dan Erik Partogi Siagian, serta pemain bass Aldri Dataviadi, yang bersama-sama menampilkan persembahan mantap dan harmoni di pentas.
Konsert dimulakan dengan lagu “Kisah Tak Sempurna” daripada album Penantian Hidup (2007), menampilkan persembahan yang bertenaga dan penuh emosi, sekaligus menimbulkan rasa nostalgia di kalangan peminat.

Menariknya, Samsons turut membawakan lagu “Ajari Aku” yang dipopularkan oleh Anuar Zain, karya penyanyinya, Adrian Martadinata, yang mendapat sambutan baik dari peminat.
Selain lagu-lagu popular mereka seperti “Akhir Rasa Ini”, “Tak Bisa Memiliki”, “Perbedaan”, “Luluh”, “Bukan Diriku”, “Dengan Nafasmu” dan “Naluri Lelaki”, Samsons turut membawakan lagu terbaru berjudul “Tentang Kita” yang mendapat sambutan hangat penonton.

Konsert mencapai kemuncak kemeriahan apabila lagu ikonik ‘Kenangan Terindah’, yang pernah melambungkan nama Samsons di Malaysia, dipersembahkan, dengan penonton menyanyi bersama, menjadikan detik itu sebagai pengubat rindu peminat.
Konsert diakhiri dengan lagu “Seandainya” sebagai encore, meninggalkan kenangan manis dan penuh emosi buat ribuan peminat yang hadir.

Konsert yang dianjurkan oleh Orlaith Inc ini diacarakan oleh Dato’ Aznil Haji Nawawi, menambah seri dan kehangatan konsert.
Secara keseluruhan, “Kenangan Terindah” bukan sahaja berjaya mengubat rindu peminat, malah membuktikan bahawa Samsons terus relevan dan dekat di hati penggemar muzik di Malaysia.




