Ikuti Kami:

Kenaikan Gaji Penjawat Awam Bukan Bahan Kempen PRK KKB – Saifuddin Nasution

Kenaikan Gaji Penjawat Awam Bukan Bahan Kempen PRK KKB – Saifuddin Nasution

HULU SELANGOR) — Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menafikan dakwaan kenaikan gaji penjawat awam yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini adalah bahan kempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB).

Beliau berkata sebaliknya perkara itu sudah lama diteliti oleh Kerajaan Perpaduan dan ia dirancang untuk diumumkan pada 1 Mei lepas sempena sambutan Hari Pekerja 2024.

“Jika dilihat pada garis masa pengumuman itu dibuat, ia akan menjawab sendiri persoalan berkenaan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Aidilfitri di Maktab Polis Diraja Malaysia di sini hari ini.

Saifuddin Nasution berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Armada Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal baru-baru ini bahawa pengumuman itu tidak memberi kesan kepada sokongan pengundi pada PRK berkenaan.

Pada Rabu lepas, Perdana Menteri mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam lebih 13 peratus bermula Disember ini yang melibatkan peruntukan lebih RM10 bilion.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam yang sedang disemak, kerajaan akan memastikan gaji minimum keseluruhan penjawat awam melebihi RM2,000 sebulan.

Dalam pada itu, Saifuddin Nasution berkata Wan Ahmad Fayhsal, yang juga Ahli Parlimen Machang, dan pemimpin lain Perikatan Nasional (PN) diminta menyatakan pendirian mereka sama ada menyokong atau tidak kenaikan gaji penjawat awam.

PRK KKB, yang menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Pang Sock Tao (Pakatan Harapan), Khairul Azhari Saut (PN), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas), diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 11 Mei sebagai hari mengundi manakala pengundian awal pada Selasa depan.

— BERNAMA

Komen
Loading...