Kemunculan Sulung Barasuara, ‘Terbuang Dalam Waktu’ Bakal Berkumandang Sabtu Ini
- oleh MDaily Editor
- 2 Apr 2026 8:47 pm
Impian peminat muzik alternatif untuk menyaksikan kehebatan kumpulan rock sensasi Indonesia, Barasuara, akhirnya menjadi kenyataan apabila mereka dijadualkan menggegar ibu kota dalam konsert eksklusif Barasuara Live in Kuala Lumpur pada 4 April ini.
Kemunculan sulung ini dibawakan khas oleh penganjur acara terkemuka, YOLO Malaysia, yang dijangka menjadi antara acara muzik paling hangat tahun ini, memandangkan reputasi kumpulan tersebut yang terkenal dengan persembahan bertenaga dan susunan muzik yang kompleks.
Antara momen yang paling dinantikan peminat sudah semestinya rangkaian lagu-lagu tular mereka seperti Terbuang Dalam Waktu dan Pancarona.
Lagu-lagu tersebut bukan sahaja mendapat sambutan luar biasa di platform penstriman, malah dianggap sebagai ‘lagu wajib’ yang bakal membangkitkan aura emosi dan tenaga di dalam dewan nanti.
Wakil YOLO Malaysia berkata, pemilihan Barasuara adalah berdasarkan identiti unik kumpulan itu yang menggabungkan elemen rock alternatif dengan interaksi penonton yang sangat intim.
“Barasuara adalah sebuah band yang perlu dialami secara langsung. Tenaga dan susunan muzik mereka sangat unik, dan kami mahu membawa pengalaman tersebut kepada peminat di Kuala Lumpur,” jelas wakil penganjur dalam satu kenyataan.

Selain kekuatan vokal dan instrumen, konsert ini turut memberi penekanan serius terhadap aspek teknikal. Sistem bunyi dan kesan visual direka khas bagi memastikan penonton mendapat pengalaman imersif yang memenuhi standard persembahan antarabangsa.
Penganjur turut menjangkakan kehadiran penonton bukan sahaja dari dalam negara, malah peminat dari Singapura, Brunei, dan Indonesia juga dijangka membanjiri lokasi konsert bagi menyaksikan kehebatan kumpulan ini secara dekat.
Bagi mereka yang ingin merasai sendiri magis kumpulan ini, tiket-tiket sudah mula dijual dengan harga mampu milik bermula dari RM168 melalui laman web rasmi yoloasia.com.
Barasuara dianggotai oleh Iga Massardi (vokal/gitar), TJ Kusuma (gitar), Gerald Situmorang (bass), dan Marco Steffiano (dram).
Keunikan harmoni vokal mereka pula disempurnakan oleh dua vokalis wanita, Asteriska dan Puti Chitara, yang sering kali memberikan dimensi emosi berbeza dalam setiap karya yang dipersembahkan.




