Kemunculan KJ, Amy Search Dalam ‘5 Bomoh’ Bakal Cetus Fenomena di Pawagam
- oleh MDaily Editor
- 11 May 2026 7:05 pm
Industri perfileman tanah air bakal digegarkan dengan kehadiran naskah satira komedi terbaharu berjudul ‘5 Bomoh’ yang dijadualkan menemui penonton di seluruh negara bermula 4 Jun 2026.
Filem terbitan gergasi kolaborasi Global Station, Skop Productions, Primeworks Studios, Aizu Group dan Mask Team ini mencuri tumpuan ramai bukan sahaja kerana jalan ceritanya yang unik, malah barisan pelakonnya yang dianggap “luar biasa”.
Daya tarikan utama naskah arahan Syed Fariz ini pastinya terletak pada penampilan bekas menteri, Khairy Jamaluddin (KJ) sebagai Mr K, serta legenda rock negara, Datuk Amy Search yang memegang watak Bomoh Alami.
Penerbit Eksekutif Global Station, Zetty Alia Ramly, berkata pemilihan barisan pelakon ini dilakukan dengan teliti bagi memberi impak maksimum kepada penonton yang mahukan kelainan.

“Kami mahu menawarkan sesuatu yang dekat dengan masyarakat. Apabila kita sebut ‘bomoh’, semua orang tahu. Jadi, mengapa tidak kita hasilkan cerita yang menyentuh realiti sosial ini tetapi dalam nada yang mendidik?
Mengenai KJ, Alhamdulillah, beliau bersetuju untuk menyertai barisan pelakon ini dan kehadirannya pasti memberikan warna yang unik kepada naskah ini,” katanya pada majlis pelancaran filem tersebut di sini, hari ini.
Sementara itu, pengarah Syed Fariz menyifatkan barisan pelakon ini sebagai satu “line-up” impian yang sangat berpengalaman.
“Salah satu sebab saya menerima projek ini adalah kerana keunikan pelakonnya. Penonton pasti tertanya-tanya bagaimana karakter Datuk Amy Search kali ini. Saya jamin, anda akan melihat sisi berbeza beliau yang sangat menghiburkan,” jelasnya.
Selain menampilkan elemen jenaka, ‘5 Bomoh’ turut membawa mesej mendalam mengenai kepentingan usaha dan tawakal, serta kritikan terhadap masyarakat yang mudah terpedaya dengan janji manis pengamal perubatan palsu.
Filem ini turut dibintangi oleh barisan pelakon handalan termasuk Dato’ Afdlin Shauki sebagai Bomoh Mbah Slamet, Aedy Ashraf (Bomoh Dr Neo), Ozlynn Waty (Bomoh Ngok Tawong), Johan (Bomoh Siam Semchai), Ungku Hariz (Alam), serta memperkenalkan bakat baharu, Tiara Suraya Rose sebagai Nisa.

Sinopsis: Obsesi ‘Straight A’s’ dan Scammer Bomoh
Filem ini mengisahkan Rashdan (Dato’ Aaron Aziz), seorang ahli perniagaan yang terlalu obses dengan kepercayaan khurafat, berbeza dengan isterinya, Sakinah (Scha Alyahya) yang merupakan seorang graduan perubatan.
Konflik memuncak apabila anak perempuan mereka, Nisa (Tiara Suraya Rose) gagal mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan percubaan SPM.
Panik dengan kegagalan itu, Rashdan memaksa keluarganya menjelajah ke seluruh negara demi mencari “bomoh terbaik” untuk memastikan Nisa berjaya.
Bagaimanapun, setiap dukun yang ditemui – lakonan hebat Dato’ Afdlin Shauki, Aedy Ashraf, Ozlynn Waty dan Johan – rupa-rupanya hanyalah penipu atau ‘scammer’ yang mengambil kesempatan atas kepercayaan melampau Rashdan.
Filem yang memulakan penggambaran pada Disember 2024 ini turut menampilkan lagu hit nyanyian MimiFly berjudul ‘Temberang’ sebagai lagu runut bunyi (OST) utama.
Pemilihan lagu tersebut dianggap sangat serasi dengan tema filem yang memaparkan kisah “penipuan” dan taktik golongan bomoh palsu yang cuba mengaburi mata masyarakat.
Jangan lepaskan peluang menyaksikan fenomena ‘5 Bomoh’ di pawagam berhampiran anda bermula 4 Jun ini.
