Kempen Visit Malaysia 2026 Perkenal Wira dan Manja, Beruang Matahari Malaya Sebagai Maskot
- oleh Mohd Indera
- 4 minggu lalu
Kempen Visit Malaysia 2026 (VM2026) memperkenalkan Beruang Matahari Malaya, sebuah spesies terancam yang menjadi simbol pemeliharaan alam semula jadi negara, sebagai maskot rasmi.
Maskot ini, diberi nama Wira dan Manja, diharapkan dapat mencuri hati pengunjung dari semua peringkat umur, akan mewakili keceriaan, kehangatan, dan semangat Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang mesra dan terbuka kepada semua.
Pemilihan beruang ini juga menegaskan komitmen negara untuk menjaga ekosistem dan sumber semula jadi negara.
Majlis pelancaran yang berlangsung di Hangar 6, Kompleks Kejuruteraan MAB, dirasmikan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, juga menyaksikan pelancaran logo, lagu tema dan reka bentuk pesawat kempen yang melambangkan semangat kerjasama industri pelancongan negara.
Logo VM2026 menggambarkan kekayaan budaya dan keindahan alam semulajadi Malaysia, yang dijadikan simbol kesiapsiagaan negara untuk menyambut pelancong dari seluruh dunia.
Acara ini juga menyaksikan pelancaran lagu tema rasmi VM2026, bertajuk Surreal Experiences, yang dinyanyikan oleh Ernie Zakri.
Lagu ini akan menjadi komponen utama dalam kempen untuk menarik perhatian global dan melibatkan pengunjung dengan pengalaman yang mempesona di Malaysia.
Sebagai sebahagian daripada persiapan untuk VM2026, Malaysia Sarong Music Run (MSMR) 2025 akan diadakan pada 8 Februari 2025 di Menara Berkembar Petronas, Kuala Lumpur.
MSMR 2025 merupakan satu sambutan terhadap warisan Malaysia sambil mempromosikan gaya hidup sihat, dan ia disokong oleh Kementerian Pelancongan, Seni, dan Budaya serta akan menampilkan kerjasama dengan Locco, yang terkenal dengan Keretapi Sarong, mempamerkan keharmonian pelbagai budaya Malaysia.
VM2026 bertujuan untuk meningkatkan hasil pelancongan Malaysia serta memperkukuhkan kedudukannya dalam industri pelancongan global.
Dengan sasaran untuk menyambut 35.6 juta pelancong antarabangsa dan menjana hasil sebanyak RM147.1 bilion, kempen ini turut melibatkan kerjasama strategik dengan pelbagai rakan industri seperti Malaysia Airlines, AirAsia, Batik Air, dan banyak lagi untuk mencipta pengalaman pelancongan yang lebih menyeluruh dan menarik.