Kemeriahan Aidilfitri di Zepp KL, Siti Nurhaliza Rai Peminat Dalam Suasana Eksklusif
- oleh MDaily Editor
- 11 Apr 2026 12:44 pm
Biarpun tirai Syawal baru sahaja disingkap, aura sambutan Hari Raya Aidilfitri sudah pun terasa bahangnya apabila Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, berjaya menghimpunkan hampir 3,000 peminat dalam satu acara penuh gilang-gemilang, malam tadi.
Konsert Pentas Eksklusif Aidilfitri: Beraya Dengan Saya yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur itu bukan sekadar persembahan muzik, malah menjadi medan pertemuan mesra antara penyanyi tersohor itu dengan peminat setianya dalam suasana yang cukup intim dan eksklusif.
Menerapkan konsep rumah terbuka, ruang acara bertukar warna-warni apabila rata-rata penonton hadir dengan busana tradisional lengkap, sekali gus menterjemahkan semangat perpaduan dan kemeriahan lebaran.
Siti, 47, memulakan persembahan tepat jam 8.30 malam dengan lagu Lip Lap Raya, sambil diiringi barisan penari yang memeriahkan lagi suasana.

Sepanjang hampir dua jam persembahan, beliau mendendangkan lebih 20 buah lagu raya termasuk naskhah malar segar seperti Sesuci Lebaran, Meriah Suasana Hari Raya, dan Air Mata Syawal.
Imbau kenangan ‘poket terlondeh’
Selain kelunakan vokal yang tidak perlu disangkal lagi, penonton turut dihiburkan dengan celoteh Siti yang berkongsi pengalaman lucu zaman kanak-kanaknya ketika menyambut Aidilfitri di kediaman polis.
Beliau sempat mengimbau memori poket baju rayanya yang pernah terlondeh akibat terlalu berat mengisi duit syiling, selain taktik menukar baju semata-mata mahu meminta duit raya buat kali kedua di rumah yang sama.
”Sebagai anak polis, saya akan pusing satu blok untuk kumpul duit raya. Mak saya memang faham, dia siapkan baju raya yang ada empat poket.
”Paling kelakar bila saya sanggup balik tukar baju lain dan datang semula ke rumah yang sama untuk dapat duit raya lagi, tapi tak berjaya sebab tuan rumah kenal saya,” katanya berseloroh yang disambut gelak tawa penonton.

Suasana konsert bertambah rancak dengan kehadiran bintang muda, Aisha Retno yang tampil berduet menerusi lagu Jodoh Lebaran dan Raya Nak Ke Mana.
Sebagai tanda penghargaan, Siti turut menyediakan juadah tradisi raya buat peminat yang hadir awal, selain menyampaikan ‘duit raya’ secara spontan kepada penonton bertuah yang berjaya menjawab soalan kuiz ringkas di pentas.

Pentas turut dimeriahkan dengan persembahan artis di bawah naungan SN Legacy, iaitu Auddra dan Umai.
Konsert ini sekali lagi membuktikan kedudukan Siti Nurhaliza sebagai penghibur nombor satu negara yang sentiasa berjaya menyatukan peminat menerusi muzik dan personalitinya yang merendah diri.




